
LABUAN: Projek Labuan Waterfront bernilai RM38 juta di sini berjalan seperti dirancang, berdasarkan lukisan yang dipamerkan di reruai Perbadanan Labuan (PL) semasa Festival Kesenian Borneo baru-baru ini.
Lukisan itu menunjukkan laluan projek berkenaan bermula dari pasar lama hingga ke pantai Victoria Harbour.
Menurut PL, Senarai Kuantiti (BQ) sedang disediakan di Kuala Lumpur dan tender akan dipanggil sebaik sahaja ia siap.
Ikon baharu Labuan itu dijangka menyerlahkan Labuan serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi.
Pengerusi Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Labuan Datuk Dahlif Singh berkata: “Memang baik untuk mempunyai lebih banyak tarikan di Labuan tetapi ia mesti menawarkan sesuatu yang istimewa.”Beliau berkata waterfront di Kota Kinabalu dan Kuching rancak berikutan sokongan penduduk tempatan dan pelancong.
“Labuan tidak mempunyai pemangkin segera ini tetapi tanpa sesuatu yang istimewa, waterfront Labuan berisiko menjadi bayangan hambar dan akhirnya disenaraikan sebagai projek gajah putih.”Dahlif bersetuju projek itu digantikan dengan pusat konvensyen moden kerana pulau ini memerlukan kemudahan yang mempunyai prospek lebih baik untuk menjana manfaat ekonomi.
Beliau mengimbas ketika Menteri Wilayah Persekutuan ialah Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin (2019-2013) dan acara Sabah Oil and Gas diadakan di Pusat Kewangan kerana kemudahan tidak mencukupi sebelum dipindahkan ke Kota Kinabalu tidak lama dahulu.
Dahlif kesal kerana tiada rundingan menyeluruh dengan NGO tempatan berhubung projek utama itu, dengan segala keputusan dibuat di Kuala Lumpur. Ada pihak yang berpendapat dana berkenaan boleh dimanfaatkan dengan lebih baik untuk menaik taraf kemudahan sedia ada.
Di bawah Fasa 2 projek itu, tumpuan akan diberikan dari pesisir Nagalang bagi melengkapkan fasa pertama.
Kawasan itu akan dibangunkan sebagai destinasi ekopelancongan dan rekreasi serta dilanjutkan untuk bersambung dengan waterfront di bandar.
Jumlah anggaran keseluruhan projek dijangka sekitar RM100 juta.
