
SERDANG - Umat Islam di Malaysia diseru membuktikan keindahan dan kekuatan nilai Islam menerusi tindakan serta pencapaian, sekali gus menjadikannya panduan yang boleh dicontohi seluruh masyarakat tanpa mengira agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cabaran umat Islam hari ini bukan sekadar memperjuangkan atau memperkatakan prinsip Islam, sebaliknya menterjemahkannya dalam kehidupan menerusi pentadbiran yang baik, kecemerlangan pendidikan, integriti dalam kerjaya serta sikap bertanggungjawab.
“Cabaran umat hari ini ialah bagaimana kita boleh menjadikan Islam sebagai satu contoh yang boleh diteladani oleh masyarakat dan umat manusia seluruhnya.
“Kalau kita seorang pentadbir, tadbirlah dengan baik. Kalau kita seorang profesor, mengajarlah dengan baik. Kalau kita seorang pelajar, belajarlah dengan bersungguh-sungguh… ini bermakna ada usaha untuk melakukan perubahan ke arah yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 bertemakan ‘MADANI Dihayati, Ummah Diberkati’ di sini, hari ini.
Menurut Perdana Menteri, umat Islam perlu berani menerima perubahan, namun pada masa sama harus memastikan nilai dipegang benar-benar diterjemahkan kepada perubahan nyata yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya, tanggungjawab itu menjadi lebih besar dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, apabila umat Islam perlu menampilkan nilai agama menerusi akhlak dan perbuatan, bukan sekadar menjadikannya slogan, retorik atau persoalan identiti semata-mata.
Tegas Anwar, nilai murni yang digariskan Islam perlu diamalkan secara berterusan sehingga menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Dalam mengamalkannya, kadangkala ia tidak sempurna atau tidak sepenuhnya menepati mesej asasnya. Maka, ini menjadi peringatan kepada kita tentang bagaimana kita boleh memperbaiki diri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan, cara umat Islam membawa dan memperlihatkan ajaran Islam boleh mempengaruhi pandangan masyarakat lain terhadap agama tersebut.
“Kadangkala masalah hari ini bukan kerana orang tidak mahu menerima Islam, tetapi orang berasa cemas dengan nada dan pendekatan kita. Jadi, masalahnya bukan semata-mata terletak pada orang lain, tetapi juga pada diri kita sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, tegas Perdana Menteri, umat Islam perlu menampilkan kekuatan Islam melalui sifat kasih sayang, ilmu pengetahuan, integriti, pentadbiran yang baik dan kecemerlangan, bukannya hanya mengharapkan orang lain memahami serta menghargai nilai Islam menerusi kata-kata.
Menurut Anwar, mesej tersebut amat signifikan dalam konteks Malaysia, apabila umat Islam memikul peranan penting dalam membentuk persekitaran sosial dan institusi negara, sambil hidup bersama masyarakat daripada pelbagai agama dan latar belakang.
Beliau turut menyifatkan sambutan Maulidur Rasul sebagai ruang untuk umat Islam memperbaharui keimanan, meningkatkan kesedaran serta memperkukuh azam untuk terus memperbaiki diri.
“Sambutan ini hanya benar-benar membawa makna sekiranya ia menyuntik semangat dan kesedaran, supaya selepas hari ini kita menjadi Muslim yang lebih baik dan mampu memberikan contoh terbaik kepada seluruh umat manusia,” katanya. - Getaran, 25 Ogos 2026
