
PETALING JAYA – Semangat perjuangan Sultan Hasanuddin yang dikenali sebagai ‘Ayam Jantan dari Timur’ perlu terus dijadikan pedoman umat Islam dalam mempertahankan kebenaran dan menentang kezaliman.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perjuangan tokoh Kesultanan Gowa itu mencerminkan keberanian, maruah serta keteguhan seorang pemimpin dalam mempertahankan kedaulatan tanah air dan hak rakyat.
Menurutnya, gelaran ‘Ayam Jantan dari Timur’ diberikan kepada Sultan Hasanuddin kerana keberanian serta ketegasannya menentang penjajahan Belanda menerusi Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC).
“Apabila kita menelusuri sejarah perjuangan Sultan Hasanuddin, kita diingatkan bahawa umat Islam tidak boleh hidup sekadar mengenang kegemilangan masa lalu.
“Semangat melawan kezaliman, mempertahankan kebenaran dan membela golongan yang tertindas mesti terus dihidupkan dalam jiwa umat hari ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, beliau berkesempatan menziarahi makam Sultan Hasanuddin di Gowa, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, dunia hari ini masih menyaksikan pelbagai bentuk penindasan, penjajahan moden dan ketidakadilan yang berlaku di beberapa tempat.
Justeru katanya, perjuangan Sultan Hasanuddin wajar dijadikan pedoman agar umat Islam terus mempertahankan prinsip dan tidak tunduk kepada penindasan.
“Perjuangan tokoh seperti Sultan Hasanuddin wajar terus dijadikan pedoman bahawa umat yang bermaruah ialah umat yang berani bangkit menentang kezaliman, mempertahankan prinsip dan tidak rela tunduk kepada penindas,” katanya.
Sultan Hasanuddin merupakan pemerintah Kesultanan Gowa yang terkenal dengan penentangannya terhadap usaha VOC untuk menguasai perdagangan dan wilayah di Sulawesi Selatan.
Keberanian baginda dalam mempertahankan Kesultanan Gowa menyebabkan Sultan Hasanuddin dikenang sebagai antara tokoh penting dalam sejarah perjuangan menentang penjajahan di Indonesia.-KOSMO! ONLINE
The post Jadikan perjuangan Sultan Hasanuddin kekuatan orang Islam – Mohamad appeared first on Kosmo Online.
