JAG Capital kuasai lebih 20% saham MyNews, anak Johari Ghani dilantik sebagai pengarah

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

JAG Capital kuasai lebih 20% saham MyNews, anak Johari Ghani dilantik sebagai pengarah Image from: JAG Capital kuasai lebih 20% saham MyNews, anak Johari Ghani dilantik sebagai pengarah johardy30/04/2026 - 09:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 April - MyNews Holdings Bhd (MyNews) mengumumkan pelantikan Amir Nashrin Johari sebagai pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif berkuat kuasa 1 Mei 2026.

 

Amir Nashrin, 32, merupakan anak kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, yang mana syarikat pelaburan keluarganya, JAG Capital Holdings Sdn Bhd, merupakan pemegang saham utama pengendali kedai serbaneka itu.

 

JAG Capital muncul sebagai pemegang saham besar MyNews pada Disember tahun lalu selepas meningkatkan pegangannya kepada kira-kira 20.3% melalui pembelian luar pasaran melibatkan 48.3 juta saham.

 

Perkembangan itu menyebabkan pegangan saham awam MyNews jatuh di bawah keperluan minimum 25% yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia kepada 24.925%.

 

Keluarga Dang, menerusi syarikat pelaburan D&D Consolidated Sdn Bhd, kekal sebagai pemegang saham terbesar MyNews dengan pegangan kira-kira 50%.


 

JAG Capital

 


Pelantikan dan kedudukan dalam syarikat berkaitan

Menurut pemfailan MyNews kepada Bursa Malaysia, Amir Nashrin kini menganggotai lembaga pengarah JAG Capital Bhd (JAGCPTL), CI Holdings Bhd (CIHLDG) dan Central Cables Bhd, syarikat-syarikat di mana beliau juga merupakan pemegang saham utama melalui kenderaan pelaburan keluarga.

 

Beliau memiliki ijazah dalam bidang perakaunan dan kewangan dari Oxford Brookes University, United Kingdom.

 

MyNews turut memaklumkan, syarikat telah mengenal pasti calon sesuai untuk dilantik sebagai pengarah bebas dan menjangka dapat menstruktur semula komposisi lembaga dalam tempoh tangguh tiga bulan yang dibenarkan di bawah keperluan penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Saham MyNews ditutup susut 0.5 sen atau 1.01% kepada 49 sen, sekali gus memberikan permodalan pasaran sebanyak RM367.67 juta.

 

Kaunter itu telah merosot 10.9% sejak awal tahun ini. - DagangNews.com

Terkini standard