Jaga amalan, tutur kata kunci permudah hafazan al-Quran

19 Aug 2026 • 6:40 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jaga amalan, tutur kata kunci permudah hafazan al-Quran

Menjaga amalan, hubungan, akhlak dan tutur kata menjadi ‘senjata rahsia’ kepada pelajar dalam memudahkan proses hafazan al-AQuran.

Ia sekali gus, membantu pelajar-pelajar menamatkan proses tersebut dalam tempoh singkat tanpa perlu mengorbankan aktiviti harian.

Perkara itu dikongsikan oleh penerima anugerah tokoh hafiz dan hafizah terbaik Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) ke-16 Tahun 2025 dengan masing-masing tidak menafikan kepentingan doa restu ibu-bapa serta guru.

Muhammad Iqbal Danial Nasir, 19 yang merupakan anak juruteknik dandang kelapa sawit daripada Gua Musang, Nasir Ludin, 57, bersama Noraini Mat Resad, 60, mengakui dengan menjaga amalan, segala perkara akan dipermudahkan.

Anak bongsu daripada enam beradik itu menjadi satu-satunya anak pasangan berkenaan yang cenderung kepada aliran agama dan mula menunjukkan minat mendalam terhadap ilmu al-Quran sejak berusia 13 tahun.

“Saya bukanlah insan yang suci daripada dosa tetapi seboleh mungkin, cuba mengelak daripada melakukan sekecil-kecil dosa. Bagi saya ia kunci utama untuk memudahkan hafazan selain menjaga aspek pemakanan dengan mengelak daripada terlalu kerap menikmati makanan segera.

“Apa yang sedari adalah, amalan berselawat banyak membantu proses hafazan kerana segalanya menjadi mudah apabila saya memperbanyakkan berselawat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Graduasi Tahfiz YIK Kali ke-16 Tahun 2025 di Tunjong, baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.

 

Image from: Jaga amalan, tutur kata kunci permudah hafazan al-Quran

 

Pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Tumpat yang bercita-cita menjadi guru agama itu mengakui masih mampu melakukan aktiviti harian bersama rakan-rakan lain apabila hanya memperuntukkan waktu pagi untuk membuat hafazan.

“Masa saya hafaz al-Quran adalah sebelum solat fardu Subuh dan melancarkannya apabila hampir waktu tamsik, sebelum membaca di hadapan ustaz. Bagi saya al-Quran adalah panduan utama untuk mengendali kehidupan dan merapatkan hubungan dengan ibu-bapa, guru dan kawan-kawan.

“Sebab itu saya masih belajar mendalami dan memahami isi kitab suci ini walaupun sudah hafaz 30 juzuk dengan harapan dapat menjadi seorang insan yang fasih al-Quran. Itu cita-cita utama saya,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Fatin Hanani Hafizi, 18 yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah bersyukur kerana mampu melengkapkan hafazan 30 juzuk al-Quran dalam masa tiga tahun bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan empat.

Menurutnya, dia tetap menjalani kehidupan seperti remaja lain sepanjang proses itu dan hanya menghafaz al-Quran ketika berada dalam kelas pada sesi pagi dan malam.

“Dalam kelas saya tidak berbual kosong, sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan kepada hafazan. Kalau dua jam masa yang ada dalam kelas, dua jamlah saya buat hafazan. Kalau mahu berbual dengan kawan-kawan saya pilih tempat lain…bukan dalam kelas,” katanya.

Bagi anak sulung daripada empat beradik hasil perkongsian hidup Hafizi Mohd. Nor, 51 dan Harmida Amri, 48 dari Kampung Kepas, Machang itu, usaha berterusan dalam menjaga hubungan dengan Allah serta sesama insan menjadi kunci utama bagi memudahkan hafazan.

“Paling utama adalah menjaga percakapan dan kata-kata. Bukan senang kerana saya bukan jenis pendiam tetapi saya berusaha menahan diri daripada menuturkan kata-kata buruk kerana tahu ia boleh menjejaskan hafazan.

“Sejujurnya saya bukan jenis yang istiqamah tetapi apabila jiwa kita benar-benar menginginkan sesuatu, sudah pasti kita akan paksa diri menjaga amalan demi menjaga hafazan yang sekali gus membantu dalam peningkatan pencapaian akademik,” ujarnya.-UTUSAN

The post Jaga amalan, tutur kata kunci permudah hafazan al-Quran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved