
CHUKAI: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan para penyokong BN supaya menjaga disiplin sekiranya ingin hadir bagi memberi sokongan kepada calon masing-masing esok.
Beliau yang juga bakal calon BN Parlimen Kemaman berkata penyokong khususnya yang menyertai perarakan parti, perlu menjaga disiplin dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Penyokong diseru untuk menjaga disiplin, ikut arahan polis. Jangan lakukan sebarang bentuk provokasi untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang perkara yang tidak diingini,“ katanya selepas beramah mesra dengan penduduk di sekitar Pasar Chukai dekat sini, hari ini.
Ketika ditanya mengenai pertembungan beliau dengan bakal calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Kemaman Che Alias Hamid yang diumumkan semalam, beliau berkata perkara itu diserahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan.
“Tidak mengapa, kita bersainglah secara sihat. Kita serahkan kepada rakyat untuk tentukan dan memilih wakil rakyat terbaik bagi Parlimen Kemaman,“ katanya.
Semalam, PN mengumumkan Che Alias sebagai bakal calon parti itu yang akan bertanding bagi mempertahankan kerusi Kemaman pada pentas PRU15.
Che Alias adalah penyandang bagi kerusi Parlimen itu menewaskan calon BN Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan calon PKR Mohd Huzaifah Md Suhaimi dengan majoriti 2,163 undi pada pilihan raya umum sebelum ini. -Bernama
