Jaga-jaga nak mohon kerja, ada HR semak CTOS calon

LocalBusiness & Finance
4 Aug 2026 • 3:01 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jaga-jaga nak mohon kerja, ada HR semak CTOS calon

PETALING JAYA – Perkongsian seorang wanita yang mendakwa permohonan kerjanya ditolak selepas pihak majikan membuat semakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CTOS) menarik perhatian pengguna media sosial.

Menerusi hantaran di Threads yang meraih lebih 673,000 tontonan, wanita menggunakan nama akaun @but.terelfly berkata, itu merupakan pengalaman pertama dia ditolak bekerja disebabkan rekod berkenaan.

“Pertama kali kena tolak dengan syarikat sebab CTOS. Ada sesiapa boleh jelaskan, memang kalau ada CTOS tidak boleh bekerja?” soalnya.

Wanita itu turut memuat naik tangkap layar mesej dipercayai daripada wakil sumber manusia (HR) yang memaklumkan bahawa syarikat berkenaan tidak meneruskan proses pengambilan selepas membuat semakan CTOS.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi dengan sebahagian pengguna mendakwa semakan latar belakang kewangan lazim dilakukan bagi jawatan tertentu, terutama yang melibatkan wang, data sulit atau institusi kewangan.

Seorang pengguna, @ija.ellyza berkata, langkah tersebut mungkin dibuat bagi mengurangkan risiko terhadap syarikat.

“Kalau syarikat itu institusi kewangan atau jawatan banyak berkaitan kewangan, memang akan ada semakan. Mereka mungkin bimbang wujud unsur terdesak, menjual maklumat syarikat atau menyeleweng dana,” katanya.

Pandangan sama dikongsikan @kopiaandmuffin yang mendakwa sesetengah syarikat dalam sektor minyak dan gas turut melakukan pemeriksaan latar belakang secara menyeluruh.

“Ada syarikat minyak dan gas akan semak semuanya, daripada rekod polis sehingga kewangan. Bos pernah bercerita kawannya tidak mendapat tawaran kerja kerana saman kereta. Alasannya, kalau saman pun tidak dibayar, bagaimana pula sikap ketika bekerja,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna yang mengaku pernah bertugas dalam bahagian HR industri minyak dan gas berkata, semakan tersebut kadangkala dibuat atas keperluan pelanggan.

Sementara itu, seorang pengguna dikenali sebagai @anugerafinance berkata, sesetengah majikan tidak semestinya menolak calon secara terus, sebaliknya memberi ruang untuk menyelesaikan rekod tertunggak.

“Ada syarikat akan bertanya sama ada calon boleh menyelesaikan rekod CTOS dan berapa lama masa diperlukan. Kalau syarikat benar-benar mahukan calon itu, mereka akan berbincang dengan baik. Malah, jika jumlahnya tidak besar, ada yang menawarkan penyelesaian melalui potongan gaji,” katanya.- KOSMO! ONLINE

The post Jaga-jaga nak mohon kerja, ada HR semak CTOS calon appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved