
Oleh Nur Azyyati Omar
SEMENYIH, 7 JULAI: Golongan dewasa perlu memainkan peranan membimbing anak-anak muda dengan nilai kasih sayang serta keharmonian sekaligus menjadi pewaris negara yang cemerlang.
Penaung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Datin Seri Masdiana Muhammad berkata dunia kini memerlukan keprihatinan pelbagai pihak untuk menjaga kesihatan mental dan emosi anak-anak termasuk mencetuskan inspirasi untuk terus mengejar impian.

“Adalah menjadi tanggungjawab utama orang dewasa untuk membentuk dan membimbing anak-anak yang merupakan pewaris bangsa Malaysia.
“Anak-anak ini adalah harapan negara yang perlu diberikan perhatian dan kasih sayang secukupnya. Jadi, menjadi tugas kita untuk membentuk dan mencorak pewaris Malaysia,” katanya.
Beliau berucap dalam majlis penutup Program MOVE JOURNEY: Impian Anak Malaysia – Dream Comes True yang berlangsung di Semenyih Eco Venture Resort & Recreation.
Seramai 200 peserta berumur 11 hingga 16 tahun menyertai program yang berlangsung pada 4 hingga 6 Julai.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah pembangunan diri, motivasi serta bimbingan kendiri yang bertujuan mencetuskan inspirasi untuk terus gigih mengejar impian.
Program tersebut melibatkan penglibatan pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Orang Asli sekaligus membuktikan semangat perpaduan dan kesatuan yang menjadi tunjang keharmonian negara.


The post Jaga kesihatan mental, emosi anak, cetus inspirasi kejar impian appeared first on Selangorkini.
