Jaga tingkah laku, kedaulatan negara tergadai jika pegawai tentera amal rasuah – Agong

LocalPolitics
17 Aug 2024 • 5:46 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah kedaulatan negara tergadai jika pegawai tentera amal rasuah terutama melibatkan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan.

Selaku pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sultan Ibrahim tidak akan memberi muka kepada mana-mana pegawai yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan gagal melaksanakan amanah sebagai pegawai tentera.

Kedaulatan negara tergadai jika pegawai tentera amal rasuah

Menurut Seri Paduka Baginda, kerjaya sebagai pegawai tentera menuntut sikap jujur dan amanah serta pengorbanan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi demi negara.

“Jangan sesekali ada pegawai tentera terlibat dalam amalan rasuah terutamanya melibatkan pembelian peralatan dan kontrak kerajaan,” titah seri paduka baginda.

image is not available

Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan menjadi tanggungjawab kepada semua pegawai tentera untuk menjaga disiplin setiap masa terutama apabila memakai pakaian seragam.

“Jaga tingkah laku dan jangan sekali-kali membuat perkara yang tidak bermaruah. Jangan musnahkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan tentera dan jangan kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” titah seri paduka baginda sewaktu Istiadat Perbarisan Pentauliahan Diraja dan Pengurniaan Watikah Tauliah Pegawai Kadet ATM 2024 di Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima ATM Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan; Pemangku Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Zulhelmy Ithnain dan Penglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Perlu amanah dalam urusan pembelian peralatan

Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan perlu sentiasa menitikberatkan nilai-nilai amanah dalam urusan pembelian peralatan dan pembinaan kemudahan tentera.

Peralatan yang dibeli mestilah bermutu tinggi dan memenuhi kehendak pasukan dan keperluan pertahanan negara dan bukan mengikut telunjuk pembekal atau ejen yang menawarkan komisen.

“Saya sendiri yang akan menilai semua perolehan,” titah Sultan Ibrahim.

image is not available

Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong turut mengingatkan pegawai kadet yang ditauliahkan hari ini mengenai perjalanan mereka yang akan ditempuhi masih jauh.

Ini kerana mereka masih ada banyak lagi latihan dan kursus lain yang perlu dihadapi untuk menjadi seorang pegawai tentera yang berkebolehan tinggi.

“Pesanan saya, saudara saudari mesti cekal dan tabah untuk terus berlatih dan menimba ilmu baharu bagi mengharungi keadaan dunia yang semakin mencabar dan menyesuaikan diri dengan teknologi pertahanan terkini.
“Jika ada yang tidak sanggup menghadapi asam garam kehidupan sebagai seorang pegawai tentera, silalah keluar baris,” titah seri paduka baginda lagi.

image is not available

Hari ini, seramai 664 pegawai kadet yang ditauliahkan. Mereka daripada yang menamatkan latihan di Akademi Latihan Ketenteraan, Akademi Tentera Darat, Kapal Diraja Sultan Idris Pertama dan Kolej Tentera Udara-Sekolah Latihan Pegawai selama enam bulan.

Sumber: BH Online (Bernama)