
TAWAU: Tampuk pemerintahan Markas Briged Ke-13 Infantri Malaysia (13 Briged) kini secara rasmi bertukar daripada kepimpinan Brig Jen Datuk Jagjit Singh Indar Singh yang akan bersara wajib kepada Brig Jen Ahmad Hafizal Hashim sebagai peneraju baharu.
Majlis serah terima tugas Panglima 13 Briged itu diadakan di Padang Kawad Kem Kubota, Batalion Ke-7 Rejimen Askar Melayu Diraja (7 RAMD) di sini pada Selasa yang disaksikan oleh Panglima Kelima Infantri Malaysia (5 Divisyen) Mej Jen Datuk Shamshor Jaafar.
Menurut kenyataan 13 Briged, pelantikan Ahmad Hafizal sebagai Panglima 13 Briged yang baharu menandakan kesinambungan kepimpinan formasi dalam memperkukuh kesiagaan dan keupayaan Tentera Darat dalam mempertahankan tanah air.
Pada masa sama juga menandakan Jagjit akan mula bercuti panjang sebagai persediaan sebelum bersara wajib pada 17 April 2027 dan menamatkan khidmatnya sebagai Panglima 13 Briged dari 7 Januari 2025 sehingga 13 Oktober 2026.
Sempena majlis itu Jagjit yang juga anak kelahiran Batu Arang, Selangor, menerima penghormatan daripada 15 pegawai dan 405 Lain-Lain Pangkat (LLP) menerusi perbarisan yang diketuai Timbalan Komander Rejimen 516 Askar Wataniah Lt Kol Peter Dunggi.
Perbarisan istimewa terbabit diadakan khusus bagi meraikan persaraan Jagjit yang kini sudahpun memasuki usia 60 tahun setelah menabur bakti selama lebih 42 tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya bersama Tentera Darat.
Pada awalnya formasi 13 Briged ditubuhkan pada 13 Januari 2017 dengan nama 13 Briged ESSCom sebagai tindak balas kerajaan terhadap keperluan mendesak untuk meningkatkan pertahanan negara di Pantai Timur Sabah susulan insiden Peristiwa Tanduo 2013.
Pada 4 September 2019 pula menyaksikan formasi terbabit dinaiktaraf menerusi langkah penstrukturan semula dan dilancarkan secara rasmi sebagai 13 Briged Infantri Malaysia di bawah naungan 5 Divisyen, manakala markas utamanya di Kem Cenderawasih, Lahad Datu.
Sebelum Jagjit, 13 Briged dipimpin oleh Brig Jen Hashim Osman (awal 2023 - 6 Januari 2025) yang menggantikan Brig Jen Datuk Arman Rumaizi Ahmad (September 2019- awal 2023) dan kini Ahmad Hafizal muncul sebagai Panglima 13 Briged yang keempat.
