
BESUT: Inisiatif seorang pesara tentera memaksimumkan penggunaan tanah dengan mengusahakan jagung sebagai tanaman selingan di samping tanaman tembikai bukan sahaja meningkatkan hasil, malah mengurangkan risiko kerugian akibat penyakit.
Norul Faraz Hasim, 44, mula mengusahakan tanaman jagung dan tembikai secara serentak di atas tanah seluas 0.8 hektar sejak Ogos tahun lalu selepas mendapati keadaan tanah di kawasan itu sangat sesuai untuk tanaman kontan.
Katanya, kaedah menanam jagung di celah batas tembikai memberi kelebihan kerana kedua-dua tanaman mempunyai tempoh matang hampir sama, iaitu sekitar 60 hari.
“Pada asalnya saya hanya tanam tembikai, tetapi melihat masih ada ruang di tengah-tengah batas yang boleh dimanfaatkan. Jadi saya tanam jagung sebagai tanaman selingan.
“Selain dapat hasil tambahan, kaedah ini membantu memanfaatkan kawasan kebun dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Pondok Paku di sini, semalam.
Katanya, penanaman jagung dilakukan dua kali setahun yang mana kira-kira 12,000 pokok ditanam bagi setiap musim.
Menurutnya daripada jumlah itu, anggaran 10,000 tongkol jagung dapat dituai dengan berat sekitar 250 gram setiap satu dan hasilnya mampu mencapai kira-kira 25 tan metrik semusim bergantung kepada gred. –UTUSAN
The post Jagung jadi tanaman selingan, tingkat hasil kebun tembikai appeared first on Utusan Malaysia.
