KUALA KANGSAR – Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menjalankan Operasi Ramadan di sekitar daerah ini termasuk kawasan tepi sungai pada Khamis bagi memantau aktiviti perniagaan makanan selain mengekang perbuatan tidak berpuasa dalam kalangan umat Islam.
Operasi penguatkuasaan itu melibatkan beberapa lokasi tumpuan termasuk Pekan Manong, Kampung Pecah Batu dan Pekan Kuala Kangsar.
JAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut turut memberi peringatan kepada peniaga makanan agar menghormati kesucian bulan Ramadan serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, sepanjang operasi berkenaan, penguat kuasa agama melakukan pemantauan terhadap tiga premis makanan yang didapati beroperasi pada waktu siang.
"Hasil pemantauan yang dijalankan sekitar tengah hari mendapati dua premis makanan menjual makanan kepada individu Melayu beragama Islam.
"Susulan itu, pihak penguat kuasa agama telah memberikan teguran serta amaran kepada pemilik premis terbabit supaya tidak mengulangi perbuatan tersebut," menurut kenyataan berkenaan.
Selain pemantauan di premis makanan, JAIPk turut menjalankan pemeriksaan di dua kawasan tepi sungai di sekitar Manong yang dipercayai menjadi lokasi tumpuan atau ‘port’ bagi individu tidak berpuasa.
Bagaimanapun, operasi yang dijalankan itu lebih menjurus kepada pemantauan serta memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjaga adab dan menghormati bulan Ramadan.
JAIPk turut menasihatkan semua pihak khususnya umat Islam agar sentiasa peka terhadap kesucian bulan Ramadan serta tidak mencemarkannya dengan perbuatan yang tidak sepatutnya.


