Jakim berunding dengan MOF isu tangguh cuti bersalin elaun penuh

24 Jul 2022 • 12:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) memaklumkan bahawa pihaknya dalam usaha membuat rayuan kepada pihak Kementerian Kewangan (MOF) berhubung arahan penangguhan kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) wanita.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, pihaknya juga sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak Kementerian berkenaan.

“Pada Januari 2022, Jakim telah mengeluarkan Peraturan Pelaksanaan Program KAFA Baharu untuk diguna pakai oleh semua Agensi Pelaksana KAFA. Antara perkara baharu yang dimasukkan dalam peraturan tersebut ialah kemudahan cuti bersalin berelaun penuh yang diberikan kepada guru KAFA wanita.

“Keputusan ini dibuat sebagai salah satu usaha dan inisiatif Jakim dalam menjaga kebajikan golongan guru KAFA wanita yang bersalin.

“Justeru, Jakim dalam usaha membuat rayuan kepada pihak MOF dan sedang menjustifikasikan langkah yang dibuat untuk pertimbangan semula pihak kementerian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Jakim terpaksa menangguhkan pemberian kemudahan cuti bersalin berelaun penuh kepada guru KAFA atas arahan MOF.

Menerusi pekeliling yang diedarkan pada Jumaat, Jakim memaklumkan pihak MOF menyatakan bahawa kemudahan itu tidak sesuai dilaksanakan kerana pelantikan guru KAFA tidak termaktub di dalam mana-mana Skim Perkhidmatan Awam Persekutuan mahupun Skim Pegawai Perkidmatan Pendidikan.

Dalam pada itu, Hakimah berkata, pihaknya bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Haji Idris Ahmad, pada Rabu telah mengadakan perjumpaan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Sri Mohd Shafiq Abdullah antara lain bagi membincangkan isu kebajikan bagi guru dan Penyelia KAFA.

Justeru, tegasnya, pihak Jakim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi membela dan menjaga kebajikan semua pihak yang berada di bawah kawal selia Jakim, termasuk guru KAFA.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved