Jakim sedia bimbing penerbit buku agama

LocalOpinion
28 Jun 2026 • 2:35 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jakim sedia bimbing penerbit buku agama
Setiap penulis buku perlu bertanggungjawab penuh kepada buku yang ditulis. Foto hiasan

SHAH ALAM - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri bersedia memberikan panduan dan bimbingan kepada semua penerbit buku kandungan agama susulan kontroversi kesilapan dalam sebuah buku agama tulisan seorang pempengaruh.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, pihaknya menyokong penuh kenyataan tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan agar pihak penerbit buku memelihara kesucian Islam selain buku-buku agama wajib disemak pihak berautoriti untuk dipastikan kesahihan kandungan buku tersebut.

"Setiap penulis buku perlu bertanggungjawab penuh kepada buku yang ditulis.

"Selain itu, semua penerbit yang menerbitkan buku kandungan agama, secara dalaman perlu bertanggungjawab melantik pasukan pakar dan kakitangan berkelulusan pengajian Islam untuk membuat semakan kepada semua kandungan agama sebelum diterbitkan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Justeru katanya, Jakim mengesyorkan kepada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia agar sentiasa memberikan peringatan kepada semua penerbit agar lebih cermat dan berhati-hati apabila menerbitkan kandungan buku melibatkan teks al-Quran dan hadis.

Terdahulu, buku Wanita Syurga oleh penulis yang juga pempengaruh Islamik, Aisyah Hijanah yang dikatakan mengandungi kesalahan potongan ayat al-Quran.

Aisyah kemudiannya tampil membuat permohonan maaf selepas tularnya isu berkenaan selain mengakui kekhilafan dan memaklumkan dirinya mengambil tanggungjawab penuh atas perkara yang berlaku.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved