JAKOA: 20 tan bekalan makanan dihantar ke lima Pos Orang Asli

2 Jan 2024 • 3:46 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

GUA MUSANG: Sejumlah 20 tan bantuan bekalan makanan akan dihantar ke lima pos penempatan Orang Asli yang terputus hubungan akibat tanah runtuh pada minggu lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Datuk Sapiah Mohd Nor berkata bekalan berkenaan dihantar dengan menggunakan sebuah helikopter jenis Mi-171 ke Pos Gob, Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Simpor.

“Sebanyak 1,097 keluarga dari 56 kampung menerima bantuan bekalan makanan ini termasuk beras, minyak masak serta beberapa barangan lain.

“JAKOA ingin mengucapkan terima kasih kepada Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) kerana memberi kerjasama untuk menghantar bekalan makanan di kawasan pedalaman Orang Asli,“ katanya ketika ditemui pemberita di Padang Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang di sini hari ini.

Sementara itu, Komander Operasi Penolong Penguasa Bomba Amir Fitri Salim berkata penugasan penghantaran bekalan makanan itu dijangka berakhir Jumaat ini dan mendapati kawasan operasi boleh dimasuki dengan menggunakan pesawat Mi-171.

“Semalam, sebanyak 19 anak kapal terlibat untuk menghantar lebih empat tan bekalan makanan ke Pos Bihai dan Kampung Gawin di Pos Gob.

“Hari ini, kira-kira enam tan bekalan makanan pula akan dihantar ke empat lokasi iaitu Pos Belatim serta Kampung Perawas, Kampung Sempadik dan Kampung Dakoh di Pos Balar,“ katanya. -Bernama