
JOHOR BAHRU - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Johor sedang bekerjasama dengan kerajaan Negeri bagi mengatasi isu bekalan air di Kampung Orang Asli Pasir Putih.
JAKOA menerusi kenyataan memaklumkan, libat urus dan perbincangan berhubung masalah bekalan air melibatkan seramai 38 penduduk itu telah diadakan semenjak 3 Mac 2016.
Bagaimanapun, status tanah di kampung tersebut yang merupakan rizab sungai dan sebahagiannya di atas tanah milik syarikat swasta menjadi isu utama kepada permasalahan itu, menurut jabatan itu.
“Oleh itu, urusan pembekalan air bersih ke kampung terbabit menjadi sukar berikutan masalah status tanah. Ini kerana, pihak JAKOA tidak boleh sewenangnya melakukan penyambungan paip air tanpa keizinan pemilik tanah terbabit,” menurut jabatan itu lagi.
Justeru, antara langkah yang dicadangkan adalah dengan mewartakan Kampung Orang Asli Pasir Putih sebagai Tanah Rizab Orang Asli, atau melaksanakan pengambilan balik tanah kawasan berhampiran dengan kampung itu, yang berstatus tanah milik syarikat mengikut keluasan tanah yang sesuai dan munasabah.
Bagaimanapun, menurut jabatan itu pelaksanaan pengambilan balik tanah dijangka melibatkan kos dan peruntukan yang besar oleh pihak kerajaan serta melibatkan perundangan dan dasar kerajaan negeri.
Sehubungan itu, JAKOA kini dalam proses perundingan perolehan dengan beberapa pihak bagi membekalkan air untuk kemudahan dan mengikut keperluan penduduk kampung terbabit buat masa ini.
Semalam, penduduk kampung berkenaan dilaporkan merayu agar masalah bekalan air diselesaikan berikutan terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dan botol lebih tiga kali sehari, bagi mendapatkan air yang disediakan pihak Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) untuk kegunaan harian. - Bernama

