Jalan dan jambatan baharu Seberang Jelai-Relong perkukuh jaringan perhubungan di Pahang

LocalCars
12 Nov 2026 • 10:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jalan dan jambatan baharu Seberang Jelai-Relong perkukuh jaringan perhubungan di Pahang
Seksyen 3J bagi Central Spine Road (CSR) Pakej 3, yang menghubungkan Kampung Seberang Jelai dengan Kampung Relong di Pahang, akan dibuka kepada pengguna jalan raya pada Jumaat. Foto: Bernama

LIPIS - Pembukaan laluan baharu sepanjang 6.95 kilometer (km) yang menghubungkan Kampung Seberang Jelai dengan Kampung Relong di sini akan memperkukuh jaringan perhubungan di kawasan luar bandar, selain meningkatkan kecekapan infrastruktur jalan raya di Pahang.

Pengarah Menang Idaman Sdn Bhd (MISB) Mohd Tarmizi Mohd Zuki berkata, projek yang melibatkan pembinaan jalan empat lorong serta lima jambatan itu merupakan sebahagian daripada Projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) Pakej 3 yang menghubungkan rangkaian jalan antara Gua Musang, Kelantan dan Lipis, Pahang.

Beliau berkata, laluan baharu itu menyediakan alternatif kepada pengguna jalan raya sekali gus membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas, menjimatkan masa perjalanan serta mengurangkan penggunaan bahan api dan kos operasi kenderaan.

“Penambahbaikan akses jalan raya ini turut berpotensi merancakkan aktiviti ekonomi setempat menerusi perhubungan yang lebih baik ke kawasan luar bandar selain memudahkan pengangkutan barangan dan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian projek itu di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Mohd Tarmizi berkata, kejayaan menyiapkan projek berkenaan merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat syarikat itu khususnya selepas mengharungi pelbagai cabaran sepanjang tempoh pelaksanaan.

Beliau berkata, antara cabaran utama ialah peningkatan mendadak harga bahan binaan susulan ketidaktentuan ekonomi global yang dipengaruhi konflik di Asia Barat.

“Bagaimanapun, cabaran tersebut tidak sedikit pun menggugat komitmen MISB untuk menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan.

“Kami tetap berpegang pada komitmen asal untuk memastikan projek ini disiapkan dalam tempoh yang dijanjikan tanpa berkompromi terhadap aspek kualiti dan keselamatan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kejayaan projek berkenaan turut dinilai berdasarkan manfaat jangka panjang yang bakal dinikmati penduduk setempat.

Katanya, MISB akan terus komited menyokong agenda kerajaan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur negara khususnya menerusi peningkatan jaringan perhubungan dan kemudahan asas demi kesejahteraan masyarakat. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved