Jalan Istana ditutup dua jam sempena istiadat pernikahan Diraja Selangor

30 Sep 2025 • 9:29 AM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

image is not available

KLANG – Jalan Istana di sini akan ditutup sementara pada Khamis ini, 2 Oktober, dari jam 8 pagi hingga 10 pagi bagi memberi laluan kepada Istiadat Pernikahan Diraja, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dengan pasangannya, Cik Afzaa Fadini Abdul Aziz, yang berlangsung di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertanggungjawabkan untuk mengawal keselamatan, ketenteraman awam dan lalu lintas sepanjang majlis berkenaan.

“Bagi memberi laluan kepada Perarakan Diraja yang bermula dari Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz menuju ke Istana Alam Shah, Jalan Istana ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan dari jam 8 pagi hingga 10 pagi.

“Penutupan ini bertujuan memastikan kelancaran pergerakan perarakan pengantin Diraja serta persediaan majlis berjalan dengan teratur. Jalan-jalan lain di sekitar Klang tidak ditutup dan akan dikawal sepenuhnya oleh pasukan polis trafik,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menegaskan, tiada penutupan jalan di daerah lain di Selangor yang tidak terlibat dengan majlis berkenaan dan semua aliran trafik berjalan seperti biasa.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang maklumat palsu yang tular selain daripada makluman rasmi PDRM. Sebarang pertanyaan mengenai lalu lintas berhubung majlis ini boleh dibuat dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33719999.

“PDRM merakamkan penghargaan kepada masyarakat atas kerjasama dan sokongan demi memastikan kelancaran istiadat ini,” katanya.