Jalan ke Klinik Kesihatan Penampang dibaiki secara berperingkat

21 Jan 2026 • 6:13 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

BEBERAPA lubang jalan terbentuk di laluan menuju ke Klinik Kesihatan Penampang telah dibaiki oleh syarikat konsesi kerajaan manakala Majlis Perbandaran Penampang (MPP) kini dalam proses menurap semula bahagian jalan yang masih belum berturap di laluan sama.

Seorang pesakit klinik itu bagaimanapun berharap Jabatan Kesihatan dapat menunjukan keprihatinan yang sama terhadap keadaan jalan di dalam kawasan premis klinik berkenaan.

Tindakan ini diambil susulan maklum balas orang awam mengenai pengalaman pemanduan yang kurang memuaskan di kedua-dua laluan tersebut.

Pemandu terjejas menyalahkan kekurangan penyelenggaraan jalan sebagai punca kerosakan kenderaan mereka sekali gus mengeluh terpaksa menanggung kos tambahan untuk mendapatkan khidmat mekanik.

Pengadu telah menyalurkan butiran berkaitan kepada Hotline dan maklumat itu kemudianya dimajukan kepada MPP serta Jabatan Kesihatan.

Jurucakap MPP berkata pihaknya telah memeriksa keadaan jalan masuk ke klinik berkenaan sebaik sahaja mengesahkan laluan itu tersenarai dalam daftar jalan agensi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat mendapan di banyak bahagian jalan dari simpang Jalan Penampang–Tambunan hingga ke pintu masuk utama klinik,” katanya.

Menurutnya lagi terdapat juga bahagian jalan yang mengalami rekahan atau hakisan lapisan asfalt.

Beliau berkata jarak antara simpang tersebut ke pintu pagar hadapan institusi perubatan itu adalah kira-kira 143 meter.

Katanya syarikat konsesi kerajaan telah dimaklumkan mengenai penemuan itu dan diminta melakukan pembaikan yang diperlukan secepat mungkin.

“Kami menggesa syarikat berkenaan supaya lebih peka terhadap keadaan laluan ini bagi mengurangkan kesulitan yang dihadapi pengguna jalan raya,” ujarnya.

Menurut beliau pihak syarikat memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan telah dijalankan minggu lalu.

“Sekumpulan pekerja syarikat itu telah menampal lubang-lubang jalan pada hari Sabtu,” katanya.

Jurucakap itu turut memaklumkan bahawa MPP menerima beberapa aduan mengenai keadaan jalan yang semakin rosak sejak beberapa bulan lalu dengan laporan terbaharu diterima pada 14 Januari.

“Kebanyakan pengadu tidak berpuas hati dengan lubang dan permukaan jalan yang tidak rata manakala ada juga yang ingin mengetahui bila bahagian jalan di cerun itu akan dinaik taraf,” tambahnya.

Beliau berkata bahagian tersebut sebelum ini hanya ditabur dengan batu kelikir dan masih belum diturap.

MPP telah melantik seorang kontraktor bulan lalu bagi menjalankan kerja naik taraf tersebut.

“Pekerja kontraktor telah mula menandakan bahagian tepi jalan untuk pembinaan longkang minggu lalu dan akan memulakan kerja menurap dalam masa terdekat,” katanya.

Jika tiada sebarang perkara tidak dijangka termasuk cuaca buruk beliau berkata kerja-kerja itu dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

Sementara itu Jabatan Kerja Raya (JKR) yang pada awalnya dihubungi berhubung masalah jalan tersebut memaklumkan pihaknya tidak dapat campur tangan kerana kedua-dua laluan berkenaan bukan di bawah seliaan jabatan itu.

“Apa yang mampu kami lakukan hanyalah memaklumkan pihak pengurusan klinik dan MPP mengenai aduan pemandu,” kata jurucakap JKR.

Dalam perkembangan berkaitan jurucakap Jabatan Kesihatan berkata pihaknya sedang meneliti dakwaan mengenai keadaan jalan yang teruk di dalam kawasan Klinik Kesihatan Penampang.

“Kami perlu mengesahkan maklum balas yang diterima. Sekiranya benar kami akan menilai tahap kerosakan dan mengatur kerja pembaikan yang diperlukan,” jelasnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kekerapan penyelenggaraan jalan tersebut.

View Original Article