
KLANG, 14 JUL: Suasana di sekitar Jalan Kebun di sini kini bagaikan pesta durian apabila deretan gerai menjual ‘raja buah’ itu membanjiri kawasan berkenaan, menarik perhatian penggemar tegar durian.
Tinjauan Media Selangor mendapati durian seperti IOI, D24 dan Musang King menjadi pilihan utama walaupun harganya agak tinggi berbanding sebelumnya. Namun, faktor rasa, kualiti dan jaminan kesegaran tetap menjadikannya rebutan.
Bagi Shirley Chua, 40, beliau sanggup berbelanja sehingga RM200 demi mendapatkan durian kegemaran keluarganya.

“Sebagai penggemar durian, saya tidak kisah untuk berbelanja dengan kos yang tinggi kerana D24 dan IOI sangat sedap, wangi dan kualiti buah di sini bagus.
“Kedua-dua gred ini menjadi pilihan yang lebih berpatutan berbanding Musang King kerana harganya mahal,” katanya ketika ditemui di gerai Durian Brothers, di sini semalam.
Pandangan sama dikongsi Dahanem J, 50, yang tetap setia memilih IOI meskipun harga mengalami sedikit kenaikan tahun ini.

“Kualiti masih sama, perkhidmatan bagus, nampak cantik dan ada jaminan kalau tidak sedap boleh pulang balik,” katanya.
Sementara itu, Normah Musa, 49, lebih gemar mencuba durian Musang King walaupun harganya lebih premium.

“Walaupun mahal, saya tetap ingin mencuba bersama suami. Namun, berbaloi dengan rasanya sangat sedap,” katanya.
Durian tempatan dilihat kekal mendapat tempat di hati rakyat negeri ini, bukan sahaja kerana keenakannya, malah kerana adanya jaminan kualiti yang ditawarkan penjual setempat.





The post Jalan Kebun meriah bagaikan pesta durian, IOI dan D24 paling laris appeared first on Selangorkini.

