Jalan Persekutuan di Melaka dinaik taraf

14 Dec 2022 • 2:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Rahmad ketika menjawab soalan lisan ketika Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh pada Rabu.

MELAKA - Projek menaik taraf Jalan Persekutuan melibatkan sepanjang 69.94 kilometer di negeri ini sedang giat dibangunkan sehingga tahun 2026.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Pengurusan Banjir dan Infrastruktur, Datuk Rahmad Mariman berkata, jalan yang meliputi ketiga-tiga daerah itu akan dilaksanakan kerja-kerja menaik taraf dan menurap semula jalan yang rosak.

Menurutnya, lokasi yang sedang dilaksanakan projek terbabit termasuk di Jalan Kampung Lereh menuju ke Tangga Batu yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

Tambah beliau, menerusi kerja penyelenggaraan berkala dalam kontrak 'Perfomance Best Contract' (PBC), kerja-kerja penurapan semula jalan akan diprogramkan pada tahun depan setelah kerja-kerja pengorekan paip yang dijalankan oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dibangunkan.

"Kerja-kerja penurapan semula jalan sepanjang tujuh kilometer ini diperuntukkan RM2.8 juta yang dijangka siap pada Februari 2023.

"Lokasi lain yang sedang dinaik taraf jalan seperti jalan menghubungkan dari Sungai Rambai ke Jambatan Rembau, Negeri Sembilan di sempadan Lubok China, jalan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Pernu, Stesen minyak BHP Telok Mas, Sekolah Menengah Agama (SMA) Sharifah Rodziah serta pelbagai lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Tuminah Kadi (BN-Pantai Kundor) ketika Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama DUN Melaka ke-15 di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini pada Rabu.