Jalan rosak, banjir kilat jadi keutamaan Ridzuan

LocalPolitics
17 Nov 2026 • 8:14 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jalan rosak, banjir kilat jadi keutamaan Ridzuan

MELAKA: Menyelesaikan masalah kerosakan jalan dan sistem perparitan yang menjadi antara rungutan penduduk sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan menjadi keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif dalam tempoh 100 hari pertama menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata, usaha itu penting bagi memastikan kebajikan penduduk di kawasan berkenaan terus diberikan perhatian, khususnya di lokasi yang berdepan masalah banjir kilat akibat keadaan sistem perparitan yang kurang memuaskan.

Katanya, beberapa isu berkenaan dikenal pasti ketika beliau turun padang bertemu penduduk sepanjang tempoh berkempen dan akan diberi perhatian menerusi pelaksanaan agenda yang digariskan dalam manifesto kerajaan negeri Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau yang sebelum ini adalah bekas Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka yang juga pernah mengetuai Unit Inspektorat dan Perundangan itu berkata, pengalaman hampir 20 tahun dalam perkhidmatan awam akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk di kawasan berkenaan.

“Apabila kita turun berkempen tempoh hari saya dapati ada beberapa perkara penting yang perlu diutamakan, terutama membabitkan kebajikan masyarakat di DUN Bukit Katil.

“Jadi, dalam tempoh 100 hari pertama, tumpuan saya lebih kepada penyelenggaraan dan membaiki kerosakan parit, jalan serta sistem perparitan,” katanya ketika ditemui semalam.

Pada PRN kali ini, Muhammad Ridzuan, 42, merupakan calon bharu mencipta kejutan apabila menewaskan penyandang, Adly Zahari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka dengan majoriti 6,607 undi.

Kemenangan itu menyaksikan calon PN berkenaan memperoleh 15,305 undi berbanding Adly yang mendapat 8,698 undi. Dua lagi calon iaitu Aliza Che Amran daripada Parti BERSAMA memperoleh 1,119 undi manakala calon Bebas, Abu Bakar Sabudin mendapat 115 undi.

Muhammad Ridzuan berkata, kerjasama BN dan PN menerusi Muafakat Melaka sebagai antara faktor yang membantu gerak kerja kedua-dua parti sepanjang pilihan raya berkenaan. – UTUSAN

 

 

The post Jalan rosak, banjir kilat jadi keutamaan Ridzuan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved