Jalan sesak, isteri sakit nak bersalin 'diiring' enam motosikal ke hospital

LocalFamily & Parenting
25 Mar 2026 • 10:21 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Detik cemas dilalui seorang lelaki ketika membawa isteri yang sakit hendak bersalin ke hospital bertukar menjadi pengalaman penuh makna apabila dibantu insan prihatin.
image is not available
Muhamad Syafiq dan isteri yang sedang sarat mengandung bersama anak pertama mereka. Kanan: Anak perempuan kedua Muhamad Syafiq selamat dilahirkan di HTJ.

SEREMBAN – Detik cemas dilalui seorang lelaki ketika membawa isteri yang sakit hendak bersalin ke hospital pada hari raya ketiga, bertukar menjadi pengalaman penuh makna apabila dibantu enam penunggang motosikal yang bertindak sebagai 'pengiring' di tengah kesesakan lalu lintas.

Menurut Muhamad Syafiq Abdullah, 25, kejadian berlaku ketika dia baru tiba di rumah mentuanya di Chembong, Rembau sekitar jam 8.30 malam.

“Saya dari Ipoh, Perak baru saja sampai rumah mentua dan tengah turunkan barang, tiba-tiba isteri beritahu sakit nak bersalin.

“Saya terus masuk semula dalam kereta untuk bawa isteri ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban, tapi mula rasa bimbang bila tengok keadaan jalan yang sesak,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Ujarnya, dia terpaksa memandu dalam keadaan cemas sambil memasang lampu kecemasan.

Tambahnya, dia beberapa kali cuba memotong kenderaan lain, tetapi agak sukar kerana keadaan jalan yang sesak di kedua-dua arah.

Namun pekerja swasta itu memberitahu, situasi berubah apabila seorang penunggang motosikal mula mengekori keretanya sebelum tampil membantu membuka laluan.

“Saya buka tingkap dan jerit beritahu isteri nak bersalin. Tanpa banyak soal, dia terus tolong buka jalan.

“Lepas itu, ada lima lagi penunggang motosikal turut serta dan empat ‘escort’ saya sampai ke HTJ yang melalui perjalanan sejauh 30 kilometer,” katanya.

Tambahnya, dengan bantuan tersebut, dia dan isteri selamat tiba di hospital sekitar jam 8.50 malam selepas melalui perjalanan kurang setengah jam.

Muhamad Syafiq berkata, dia sempat memeluk dan mengucapkan terima kasih kepada penunggang motosikal pertama yang menghulurkan bantuan.

"Saya tak sempat nak cakap banyak pada abang itu kerana nak cepat masuk bilik pembedahan temankan isteri bersalin.

"Alhamdulillah, anak perempuan kedua saya selamat dilahirkan isteri Auni Balqis Mohd Izan, 24 secara normal pada jam 9.12 malam," katanya.

**media[3471485]**

Ceritanya lagi, meskipun berdepan situasi genting, namun dia bersyukur kerana ALLAH telah menggerakan hati ramai individu untuk membantu perjalanannya ke hospital.

Tambahnya, selain penunggang motosikal, seorang lagi pemandu pacuan empat roda turut membantu dengan membunyikan hon bagi memberi laluan.

“Kalau ALLAH tak hadirkan orang-orang yang baik ini, rasanya dengan keadaan kesesakan jalan yang teruk itu mungkin perjalanan kami ke hospital ambil masa dua jam.

“Memang saya sangat terharu, mereka orang yang saya tak kenal langsung tapi sanggup iring sampai ke hospital. Terima kasih abang-abang yang bantu saya," katanya.

Tambahnya, pengalaman itu amat bermakna lebih-lebih lagi berlaku pada Aidilfitri, sekali gus membuktikan masih ramai rakyat Malaysia yang prihatin dan sanggup membantu.

“Kalau bukan sebab mereka, mungkin cerita ini berbeza. Ini memang pengalaman raya yang saya tak akan lupa sampai bila-bila,” katanya.