

Laluan Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua, Batang Kali, Selangor dijadikan litar haram untuk para pemilik kereta dan motosikal mewah!
Golongan ini dikatakan menggunakan laluan kampung itu untuk mempamerkan kehebatan kenderaan masing-masing.
Namun tindakan mereka itu berjaya dihidu pihak polis apabila mereka ditahan menerusi Ops Samseng Jalanan, yang diadakan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata operasi diadakan bagi mengekang dan mencegah kesalahan lalu lintas di kawasan terbabit.

“Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua menjadi tumpuan konvoi pemandu dan penunggang motosikal dengan sebahagiannya membawa secara berbahaya.
"Setakat ini polis belum menerima aduan ada pihak yang berlumba namun akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.
Selain itu, pihaknya turut menahan beberapa pemandu lain yang didapati memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.



