Jalur Gemilang Tak Lengkap Tanpa Bulan Sabit: Sin Chew Gantung Tugas Dua Editor

LocalPolitics
17 Apr 2025 • 6:40 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas dua editornya berikutan kesilapan mencetak ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap.

Dua individu yang dikenakan tindakan tatatertib tersebut adalah Ketua Pengarang Eksekutif, Chan Aun Kuang, dan Timbalan Ketua Penyunting Bahagian Suntingan akhbar berkenaan.

image is not available

Sin Chew Gantung Tugas Dua Editor

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pihak pengurusan Sin Chew Daily mengumumkan bahawa keputusan tersebut berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan penuh selesai dijalankan.

“Pihak pengurusan Sin Chew Daily mengumumkan bahawa keputusan ini berkuat kuasa serta-merta dan akan kekal sehingga siasatan selesai,” menurut kenyataan akhbar itu hari ini.

image is not available

Keputusan ini menggambarkan keseriusan pihak pengurusan akhbar dalam memastikan ketepatan dan kualiti dalam setiap terbitan mereka.

Semalam, Sin Chew dalam satu kenyataan memaklumkan pihkanya telah mengambil tindakan tatatertib terhadap individu yang bertanggungjawab berhubung kesilapan melibatkan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap tanpa simbol bulan sabit pada hadapan akhbar bertarikh kelmarin.

Pihaknya turut memaklumkan jabatan editorial akan memperketatkan prosedur semakan dalaman, khususnya melibatkan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menegur akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily, susulan kesilapan memaparkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

image is not available

Baginda menzahirkan pandangan bahawa pihak pengurusan dan editor akhbar tersebut seharusnya lebih cermat dalam menyemak kandungan sebelum diterbitkan.

Teguran diraja itu merujuk kepada edisi terbitan Selasa lalu yang menampilkan ilustrasi muka depan sebuah jong dengan bendera Malaysia dan China, bersempena lawatan Presiden China, Xi Jinping, ke negara ini. Namun, bendera Malaysia dalam ilustrasi berkenaan didapati tidak memaparkan simbol bulan sabit.

image is not available

Sin Chew kemudiannya tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa kesilapan tersebut berpunca daripada “ralat teknikal”.

Sumber: Malaysiakini