
Wear OS 3 adalah sistem operasi baharu untuk jam tangan pintar yang dibangunkan oleh Google. Jam pertama yang menggunakan sistem operasi ini adalah Samsung Galaxy Watch4. Wear OS 3 hadir dengan banyak ciri dan fungsi baharu seperti Google Assistant dan Play Store dengan antaramuka baharu, pelancar aplikasi mesra pengguna, talam senarai aplikasi yang telah dibuka dan banyak lagi.
Wear OS juga adalah antara sistem operasi jam tangan sebenar yang turut mesra dengan iOS. Tetapi untuk Wear OS 3, sokongan untuk iOS masih tidak diketahui kerana pada Samsung Galaxy Watch4 jam ini tidak boleh digunakan pada mana-mana iPhone. Sehinggalah Mont Blanc Summit 3 yang baru dilancarkan baru-baru ini.

Ia adalah jam tangan pintar pertama Wear OS 3 yang bukan di bawah Samsung. Wareable telah melaporkan yang jam ini tidak akan ada masalah untuk digunakan pada iPhone dengan aplikasi Wear OS untuk iOS. Ini bermakna jam RM5700 ini boleh digunakan seperti mana-mana jam Wear OS lama tanpa sebarang masalah dengan iPhone, lebih-lebih lagi untuk mereka yang tidak gemar menggunakan Apple Watch.
