
RAJA pop, Datuk Jamal Abdillah kini sedang menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Pulau Pinang selepas disahkan menghidap hernia atau angin pasang.
Khabar duka itu dikongsikan mStar, yang memaklumkan penyanyi berusia 67 tahun itu telah menjalani pembedahan sekitar jam 11 pagi, pada Khamis di sebuah pusat perubatan di Pulau Pinang.
Isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 29, berkata Jamal atau nama lengkapnya Jamal Ubaidillah Mohd Ali terdahulu merasakan kelainan ketika persembahan pada awal Ramadan lalu apabila tiba-tiba berasa sakit di bahagian bawah perut.
“Sebenarnya baru saja dikesan pada awal Ramadan lalu. Waktu itu dia sedang membuat persembahan dan tiba-tiba mengadu sakit di bahagian bawah perut.
“Kami terus buat pemeriksaan di hospital dan doktor ambil keputusan untuk melakukan pembedahan segera. Dah tak ada cara lain,” katanya.
Zai Izzati dalam masa yang sama memaklumkan keputusan untuk menjalani pembedahan di Pulau Pinang dibuat kerana secara kebetulan suaminya memiliki komitmen untuk membuat persembahan di negeri itu.
Malah, ibu kepada lima cahaya mata itu itu tidak menolak kemungkinan untuk menyambut Aidilfitri di hospital.

“Kami melakukan pembedahan di hospital di Pulau Pinang sebab kebetulan suami saya ada persembahan di sini.
“Lagipun kalau buat di Kuala Lumpur takut lambat. Suami saya perlu melakukan pembedahan ini secepat mungkin sebab bulan depan dia dah mula sibuk dengan persembahan pentas. Takut proses pemulihan lambat.
“Mungkin juga kami terpaksa beraya di hospital. Kalau boleh memang dia nak balik tapi saya minta duduk di hospital dulu takut ada pendarahan atau komplikasi lain,” tambahnya lagi.
Sekadar info, Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017.
Mereka dikurniakan lima anak iaitu Nur Azura Yamani, 6, El Isaac Yamani, 5, Iskandar Rayyan Yamani, 3, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 2, dan Magdalena Yamani, setahun.
Penyanyi itu juga memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 24, dan Ahmad Zaki Yamani, 20.
Sumber: mStar (Ain Norman)


