Jambatan Batang Lupar No. 1 yang menghubungkan Sebuyau dan Maludam di Sarawak telah dibuka secara rasmi oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Khamis lalu. Dengan panjang sekitar 4.8 km merentasi Sungai Batang Lupar, ia kini menjadi jambatan terpanjang menyeberangi sungai di Malaysia, mengatasi Jambatan Sungai Johor (1.7 km). Rekod jambatan terpanjang di Malaysia masih lagi dipegang oleh Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah sepanjang 24 km yang menghububgkabn Bandar Cassia (Batu Kawan) di Seberang Perai dengan Batu Maung di Pulau Pinang.

Ia sebahagian daripada Program Rangkaian Jalan Pesisir & Jalan Utama Kedua, bertujuan meningkatkan sambungan kawasan pesisir ke bandar utama. Pembinaan telah dimulakan pada Mac 2021 dengan projek menelan belanja RM 848.75 juta. Dengan pembukaan jambatan, perkhidmatan feri Sebuyau–Triso ditamatkan secara berperingkat. Sebelum jambatan ini dibina, penduduk setempat menggunakan perkhidmatan feri sejak beberapa dekad yang lalu.
