
Jambatan Batang Rajang ini akan dibuka selama 2 minggu bermula 28 Mac 2025
Jambatan Batang Rajang Dibuka Sementara Sempena Raya, Sarikei Ke Tanjung Manis Hanya 45 Minit. Berita baik untuk penduduk pesisir Rajang, Pulau Bruit, Matu, dan Daro, Jambatan Batang Rajang (Jambatan Pasi) serta jalan raya baharu dari Jalan Pasi ke Tanjung Manis akan dibuka kepada orang ramai selama dua minggu bermula 28 Mac 2025 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri!
Sebelum ini, mereka yang ingin ke Tanjung Manis, Daro, atau Matu perlu singgah ke Sibu jika menggunakan Lebuh Raya Pan Borneo dari Kuching, Sri Aman, Betong, atau Saratok. Dengan pembukaan sementara ini, perjalanan dari Sarikei ke Tanjung Manis hanya akan mengambil masa 45 minit sahaja, lebih singkat berbanding dua hingga tiga jam jika perlu melalui Sibu.

Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, jambatan dan jalan raya ini dibuka khusus untuk memudahkan pergerakan sempena Hari Raya.
Kita buka laluan ini selama dua minggu bermula 28 Mac. Jika Hari Raya jatuh pada 1 April, kemungkinan ia akan ditutup semula pada 14 atau 15 April untuk kerja-kerja penambahbaikan,” katanya.

Pembukaan sementara disokong JKR & kontraktor
Len Talif menjelaskan bahawa pembukaan sementara ini telah mendapat persetujuan daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati kemudahan ini untuk pulang beraya.
Hanya beberapa bahagian jalan masih perlu dinaik taraf, tapi secara keseluruhannya, projek ini berada dalam keadaan memuaskan.”
Beliau juga menambah bahawa dalam perancangan jangka panjang, beberapa kemudahan tambahan akan dibangunkan untuk keselesaan pengguna jalan raya.

Projek RM321 juta bakal mengubah landskap pesisir Sarawak
Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, projek ini adalah sebahagian daripada pembangunan jalan pesisir negeri yang bakal mengurangkan jarak perjalanan dengan ketara.
Bila siap sepenuhnya nanti:
- Jarak Sarikei ke Tanjung Manis: 50 km sahaja (sebelum ini 141 km)
- Masa perjalanan: 45 minit sahaja (sebelum ini lebih 2 jam 30 minit)
Dengan kos pembinaan sebanyak RM321 juta, projek ini dijangka memberi impak besar kepada penduduk tempatan dan pertumbuhan ekonomi kawasan pesisir Sarawak.
Jadi, sementara laluan ini dibuka khas untuk Hari Raya, jangan lepaskan peluang untuk merasai perjalanan lebih pantas dan mudah ini!
Lagi berita terkini untuk anda di sini:

