
BEAUFORT: Sebuah jambatan pejalan kaki di Kampung Indomadi, Padas Damit, roboh selepas dilanda arus deras banjir kira-kira jam 4 petang Rabu, sekali gus menambah kesukaran penduduk untuk berulang-alik.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Sipiah Amat, berkata punca utama kejadian ialah timbunan rumput sungai yang dihanyutkan arus banjir lalu terdampar di jambatan itu, sebelum ditolak arus deras sehingga runtuh.
Beliau menjelaskan jambatan berkenaan amat penting untuk penduduk sama ada bagi mengambil buah sawit, menoreh getah, selain untuk ke klinik atau hospital, termasuk digunakan anak-anak sekolah dan warga emas.
Katanya, keadaan ini juga menyukarkan ibu mengandung untuk ke klinik. Jika tiba masa melahirkan, mereka terpaksa menggunakan jalan alternatif yang lebih jauh.
“Saya bersama beberapa penduduk sudah berusaha sejak pagi mengalihkan timbunan rumput, tetapi semakin lama semakin banyak yang tersekat di jambatan hingga mula runtuh,” katanya, Khamis.
Sipiah berkata beliau hampir menjadi mangsa apabila jambatan itu roboh, namun sempat menyelamatkan diri.
Menurutnya, terdapat tujuh rumah di kawasan itu dan jambatan berkenaan merupakan laluan utama mereka ke pekan serta ke masjid kerana lebih dekat.
“Penduduk seberang juga bergantung kepada jambatan ini untuk bekerja, menoreh getah dan memetik sawit. Kini tanpa jambatan, sukar bagi mereka mencari rezeki,” jelasnya.
Beliau mewakili seluruh penduduk berharap kerajaan dapat membina jambatan konkrit yang lebih kukuh dan tinggi supaya tidak mudah terhalang oleh timbunan rumput sungai.
“Saya harap Adun Lumadan merangkap Pembantu Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Ruslan Muharam, dan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, segera meninjau lokasi serta mengambil tindakan,” katanya.
