
SHAH ALAM, 6 MAC: Jaminan perdana menteri untuk tidak tidak mengiktiraf golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) membuktikan kerajaan serius memelihara prinsip Islam.
Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertepatan pada waktunya selain dapat meyakinkan rakyat.
“Baru-baru ini Beta membaca petikan akhbar berkaitan ketetapan dasar kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang jaminan untuk tidak mengiktiraf golongan LGBT dan konsep negara sekular.
“Jaminan diberikan perdana menteri bertepatan dan kena pada waktunya bagi meyakinkan rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-69 di Istana Melawati, Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, Baginda menyeru semua pihak menyokong usaha mendaulatkan Islam dan memperkasa MKI dengan meletakkan pentadbiran institusi Islam di pada landasan yang sepatutnya.
“Beta mengharapkan dengan bermulanya lembaran baru MKI ini, kita semua mampu berjalan seiring dengan semangat dan pemikiran baharu, membawa perubahan yang baik dalam usaha mendaulatkan Islam di Malaysia,” titah Baginda.
Sebelum ini, perdana menteri dalam temu bual khas bersama stesen televisyen tempatan memberi jaminan LGBT, konsep negara sekular dan ideologi komunis tidak diiktiraf Kerajaan Perpaduan.
Anwar menegaskan isu itu hanya dibangkitkan pihak tertentu yang cuba menyebarkan perkara tidak benar.
The post Jaminan PM tidak iktiraf LGBT bukti kerajaan serius pelihara Islam, titah Sultan appeared first on Selangorkini.


