Jana RM1 juta setahun, sindiket jual aksesori iPhone tiruan tumpas

LocalBusiness & Finance
30 Apr 2026 • 3:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jana RM1 juta setahun, sindiket jual aksesori iPhone tiruan tumpas
Mohd Hazimin (tengah) menunjukkan rampasan aksesori iPhone tiruan yang dirampas.

MELAKA - Kegiatan menjual aksesori telefon jenama terkemuka iPhone tiruan yang menjana jualan RM1 juta setahun terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka di sebuah gudang di Taman Teknologi Cheng menerusi Ops Jenama pada Rabu.

Pengarah KPDN Melaka, Dr. Mohd Hazimin Jamaludin berkata, premis tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tiga tahun lalu dengan memasarkan barangan tiruan termasuk sarung telefon, fon telinga, AirPods, kabel pengecas serta kotak telefon menerusi platform dalam talian selain diedarkan kepada beberapa syarikat dan ejen.

Menurutnya, kegiatan itu dikesan hasil aduan daripada wakil pemilik cap dagangan berdaftar berkenaan sebelum tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“Barangan yang dijual dipercayai meluas bukan sahaja di Melaka, malah turut diedarkan ke luar negeri ini susulan jualan secara atas talian.

“Modus operandi sindiket adalah menjual barangan tiruan melalui media sosial dan platform e-dagang dengan harga jauh lebih murah berbanding pasaran, dipercayai sehingga tiga kali ganda lebih rendah,” katanya menerusi sidang akhbar pada Khamis.

Dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai pengurus gudang berkenaan.

Ujarnya, lelaki tersebut telah ditahan reman selama tiga hari bermula Khamis bagi membantu siasatan

di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki barangan menggunakan cap dagangan palsu bagi tujuan perdagangan.

“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 31,279 unit aksesori telekomunikasi tiruan melibatkan pelbagai jenama telefon terkenal dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM132,086.

“Jika sabit kesalahan, individu boleh didenda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan tiruan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya.

Beliau menegaskan KPDN akan terus mempergiat operasi pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penjualan barangan tiruan.

Pada masa sama orang ramai supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan salah laku perdagangan.