Jangan amalkan politik biadab - PKR Kota Raja

LocalPolitics
14 Jul 2023 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Gunaraj (empat, kiri) bersama ahli PKR Cabang Kota Raja membuat laporan di IPD Klang Selatan pada Jumaat.

KLANG - Jangan keterlaluan dan biadab dalam berpolitik, demikian tegas Ketua PKR Cabang Kota Raja, Dr G Gunaraj berikutan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Gunaraj berkata, tindakan Sanusi jelas sekali menggugat keharmonian kaum serta perpaduan di negeri ini sejak sekian lama.

"Sanusi seharusnya faham tentang prinsip Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, dan tidak sewenangnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Berpolitiklah dengan matang dan berhemah, jangan mainkan isu-isu 3R (agama, raja dan kaum) sebegini, jelas sekali ia merupakan perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat.

Katanya, sebagai rakyat yang cintakan negara, seharusnya perkara sensitif seharusnya tidak patut ditimbulkan sama sekali.

"Saya mewakili lebih 50,000 ahli parti kawasan Kota Raja yang sayang Sultan kami, sama sekali tidak dapat menerima tindakan Sanusi tersebut.

"Saya menggesa agar Sanusi disiasat dan diambil tindakan tegas menerusi peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Sanusi dalam satu siri ceramah mengeluarkan kenyataan yang didakwa menghina Sultan Selangor.

Menerusi video tular dipercayai ketika menyampaikan ceramah, Mohamad Sanusi juga turut didakwa meremehkan pelantikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Muhammad Sanusi juga mendakwa Selangor tidak boleh dijadikan model negeri Pakatan Harapan (PH) paling berjaya kerana pemerintahan yang bijak.

ARTIKEL BERKAITAN: