
SHAH ALAM: Pelakon dan usahawan, Dazrin Kamarudin menegaskan status sebagai selebriti bukan alasan untuk mengabaikan undang-undang, terutama ketika menganjurkan sesuatu acara.
Menurut Dazrin, 38, setiap individu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum melaksanakan sebarang aktiviti.
“Memang saya seorang yang banyak idea. Kalau orang kata sesuatu itu tidak boleh dibuat, saya akan cari jalan untuk menjadikannya realiti. Namun, apa sahaja yang dilakukan mesti mengikut peraturan.
“Jangan kerana kita selebriti, kita rasa boleh melanggar undang-undang. Peraturan tetap peraturan. Jika perlu memohon lesen, mohonlah lesen. Selagi belum mendapat kelulusan, saya tidak akan menjalankan acara tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Weekend Fête Al Aqsa Carpets di Al Aqsa Carpets Factory Outlet, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dazrin berkata hasratnya untuk membantu seorang penghibur jalanan sebelum ini juga terpaksa ditangguhkan kerana menyedari persembahan sedemikian memerlukan lesen yang sah.
“Saya memang berniat membantu seorang busker semalam. Namun, jika mahu menampilkan busker atau mana-mana penghibur, ia tetap memerlukan lesen. Jadi, kita perlu patuh kepada prosedur yang ditetapkan,” katanya.
Program Weekend Fête Al Aqsa Carpets yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dianjurkan sebagai inisiatif mewujudkan ruang komuniti yang lebih aktif, selain membuka peluang kepada usahawan tempatan mempromosikan produk serta mengembangkan perniagaan masing-masing.
Dalam perkembangan sama, Dazrin berkata keberanian mengambil risiko penting dalam dunia perniagaan, namun ia perlu diseimbangkan dengan pematuhan terhadap undang-undang.
“Kita memang perlu berani mengambil risiko, tetapi dalam masa sama kena tahu akta dan peraturan yang berkuat kuasa. Jangan langgar undang-undang kerana kita mahu berniaga dengan semua pihak.
“Kita juga perlu menghormati setiap badan pengawal selia. Jika semua prosedur dipatuhi, insya-Allah tidak akan timbul sebarang masalah untuk menganjurkan sesuatu acara,” katanya.
Menurutnya, sepanjang terbabit dalam dunia perniagaan, beliau tidak pernah berdepan sebarang isu dengan pihak berkuasa dan berharap keadaan itu terus berkekalan.
“Saya bersyukur kerana tidak pernah berdepan masalah dengan pihak berkuasa dan memang tidak mahu perkara itu berlaku,” ujarnya.
Mengulas sama ada status selebriti memudahkannya berurusan, Dazrin mengakui populariti mungkin membuka ruang untuk bertemu pihak tertentu, namun ia bukan jaminan memperoleh layanan istimewa.
“Mungkin dikenali sebagai selebriti memudahkan kita mendapatkan peluang untuk bertemu atau mengadakan perbincangan. Namun, apa yang menentukan kedudukan kita ialah disiplin dan cara kita menghormati orang lain serta mematuhi peraturan.
“Kalau pergi mesyuarat sekalipun, kita perlu tahu apa syarat yang ditetapkan, apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Tidak ada istilah kerana kita selebriti, kita bebas melanggar peraturan. Saya langsung tidak percaya perkara itu,” katanya.-UTUSAN
The post Jangan ambil kesempatan guna tiket selebriti – Dazrin Kamarudin appeared first on Utusan Malaysia.
