
KUALA LUMPUR - Kerajaan Perpaduan disaran untuk tidak berdendam dengan golongan berpendapatan tinggi atau T20, kerana ia akan mewujudkan kesan negatif terhadap pelbagai pihak.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, tindakan kerajaan ‘menghukum’ golongan itu hanya mendatangkan kesengsaraan kepada rakyat, memandangkan majoriti majikan terdiri daripada kumpulan T20.
"Kita jangan berdendam dengan kumpulan ini, kerana mereka juga penyumbang kepada ekonomi. Merekalah yang akan mencipta peluang pekerjaan kepada pekerja. Kita kena faham, ini teori asas ekonomi, kena anggap kumpulan itu penting.
"Jangan kita mengenakan kenaikan (tarik subsidi elektrik) secara mendadak. Apabila mereka sesak nafas, orang lain (juga) akan terkesan khususnya pekerja," katanya hari ini.
Sehubungan itu, Ka Siong menegaskan, keputusan untuk tidak lagi memberikan subsidi elektrik kepada golongan T20 hanya mendatangkan masalah yang lebih besar kepada rakyat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menyakini, tidak mustahil ketiadaan subsidi itu akan membuatkan majikan memberhentikan pekerja atau menaikkan harga produk mereka.
"Kalau pekerja telah dipecat, siapa yang menanggung kesengsaraan, siapa hendak bela? Ini hanya akan menyebabkan masalah berlarutan.
"Sebab itu saya kata, dalam kes ini, tanyalah pihak industri. Tengoklah mereka yang meniaga kecil. Apa kesan (apabila ketiadaan subsidi elektrik)," katanya.
Pada Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan golongan T20 tidak lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik atau untuk menunaikan haji di Makkah.
Jelasnya, sistem penyelarasan data iaitu Pangkalan Data Utama (PADU) yang dijangka siap menjelang hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang sepatutnya layak.
Kerajaan sebelum ini memperuntukkan RM10.76 bilion bagi menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.
Lembaga Tabung Haji (TH) pada Mac lalu pula mengumumkan, jemaah muassasah bagi kumpulan B40 dan M40 masing-masing perlu membayar sebanyak RM11,980 dan RM15,980, manakala kumpulan T20 perlu menanggung kos haji sepenuhnya sebanyak RM30,850 seorang. - Getaran, 2 Julai 2023.


