‘Jangan beri musuh peluang’: Razali Idris gesa PAS, Bersatu berdamai demi ‘route to Putrajaya’

LocalPolitics
25 May 2026 • 11:50 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: ‘Jangan beri musuh peluang’: Razali Idris gesa PAS, Bersatu berdamai demi ‘route to Putrajaya’

KUALA LUMPUR – Di kala bahang krisis dalaman Perikatan Nasional (PN) dilihat semakin memuncak, Bersatu mengingatkan parti komponennya bahawa sebarang perpecahan hanya akan menjadi 'talian hayat' yang menguntungkan blok lawan.

Pengerusi Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris menegaskan, musuh politik sentiasa mengintai ruang dan peluang untuk memecah-belahkan gabungan itu, lantas menuntut agar segala isu berbangkit diselesaikan secara matang.

Beliau menyarankan agar sebarang ketidakpuasan hati yang timbul antara kedua-dua parti diselesaikan dengan penuh hikmah dan berjiwa besar melalui rundingan terus.

"Kembali ke meja rundingan adalah langkah terbaik demi mencari penyelesaian yang bersifat 'win-win', berasaskan semangat ukhuwah, saling menghormati dan matlamat perjuangan yang sama.  

"Setiap hubungan pasti ada kekuatan dan kelemahan. Kajian semula diperlukan dan yang baik diperkukuhkan, yang kurang diperbaiki.  

"Jangan kerana perbezaan pandangan, musuh diberi peluang melihat keretakan dalam saf perjuangan," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, di sini.

Kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu dipercayai bagi meredakan ketegangan susulan kenyataan terbuka Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini yang membayangkan parti Islam itu sedia menilai semula kerjasama mereka dengan Bersatu.

Abdul Hadi dilaporkan mendakwa tindakan Bersatu di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mutakhir ini seolah-olah menggugat semangat setia kawan yang dipersetujui bersama.

Bagaimanapun, Razali menyuarakan keyakinan penuh bahawa kedua-dua tokoh besar negara itu mempunyai formula terbaik untuk menamatkan kemelut yang melanda demi keyakinan rakyat.

"Insya-Allah, di bawah penyelarasan kepimpinan Dr Sam (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar) yang tenang dan strategik, PN akan terus menjadi blok pembangkang yang kuat, bersatu dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," jelasnya lagi.  

Mengulas lanjut, Razali mengingatkan saf kepimpinan PN bahawa objektif utama gabungan politik itu tidak seharusnya mendatar, sebaliknya perlu fokus kepada matlamat yang lebih besar.

Tegasnya, hala tuju gabungan itu mestilah jelas iaitu komited membina jentera yang ampuh untuk kembali menerajui kerajaan, bukannya sekadar selesa memegang status sebagai pembangkang.

"Lantas, PN perlu membina kekuatan sebagai satu pasukan besar yang bersedia memerintah Malaysia dengan lebih stabil, bersih dan berintegriti.  

"Insya-Allah, dengan kesatuan saf, disiplin kepimpinan dan fokus kepada agenda rakyat, PN akan tampil lebih kuat menghadapi PRU akan datang.  

"Musuh mahu melihat perpecahan, tetapi kekuatan sebenar PN ialah kesatuan, kematangan dan keikhlasan perjuangan demi agama, bangsa dan negara." - 25 Mei, 2026

The post ‘Jangan beri musuh peluang’: Razali Idris gesa PAS, Bersatu berdamai demi ‘route to Putrajaya’ appeared first on Scoop.