Jangan biar politik identiti hancurkan cita-cita Malaysia: Amirudin

LocalPolitics
16 Sep 2026 • 9:43 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan biar politik identiti hancurkan cita-cita Malaysia: Amirudin
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbezaan identiti yang wujud dalam masyarakat termasuk agama, kumpulan dan generasi tidak seharusnya diperbesar sehingga mencetuskan kecurigaan serta menjejaskan perpaduan rakyat. FOTO: ROSLI TALIB

SHAH ALAM - Politik identiti dan prasangka yang semakin menebal hanya akan menghancurkan usaha membina Malaysia yang bersatu. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbezaan identiti yang wujud dalam masyarakat termasuk agama, kumpulan dan generasi tidak seharusnya diperbesar sehingga mencetuskan kecurigaan serta menjejaskan perpaduan rakyat.

Menurutnya, Malaysia dibina atas kepelbagaian dan perbezaan tidak semestinya membawa kepada perpecahan sekiranya diurus secara adil, matang dan saling menghormati. 

"Antara tentangan yang harus kita hadapi sedaya upaya adalah mengatasi kecurigaan dan prasangka yang marak. 

"Perkara itu hanya akan membawa kehancuran daripada cita-cita untuk membina Malaysia yang bersatu," katanya ketika berucap pada Program Bicara Perdana sempena Hari Malaysia 2026 di Dewan Al Jazari, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada Selasa. 

Amirudin menjelaskan, politik ketika ini turut memperlihatkan kecenderungan membangkitkan isu identiti yang bukan sahaja berkaitan politik, malah sudah meresap dalam pelbagai bidang dan sektor. 

Katanya, perbezaan identiti agama, kumpulan serta generasi adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia. 

"Identiti itu sudah pun meresap dalam pelbagai bidang, ada identiti agama, kumpulan dan juga generasi. 

"Sudah pasti ada perbezaan dan kelainan, tetapi kelainan itu kalau terus diperbesarkan atau ditebalkan tanpa cukup kefahaman, ia akan menjadi cabaran kepada kita," jelas beliau. 

Dalam pada itu, Amirudin berkata, setiap generasi perlu mempunyai kesediaan untuk memahami antara satu sama lain bagi memastikan perbezaan tidak menjadi jurang. 

Menurut beliau, generasi muda perlu memahami pengalaman generasi terdahulu, manakala generasi lebih berusia juga perlu menerima perubahan dan cara pemikiran generasi baharu. 

"Generasi muda perlu memahami generasi yang terdahulu, tetapi generasi terdahulu juga harus sedar mengenai kefahaman dan perubahan generasi," jelas beliau. 

Menurut Amirudin, usaha membina bangsa yang yakin dan bersepadu masih belum selesai kerana ia adalah proses berterusan yang perlu diperbaharui setiap generasi.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved