‘Jangan Biarkan Buli Siber Terus Berlaku, Cegah Sebelum Parah!’ - Saraswati

10 Jul 2024 • 9:43 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Saraswati Nallathamby (dua, kanan) berbual bersama ibu mendiang Rajeswary Appahu (dua, kiri) ketika melawat keluarga mangsa. – Gambar Wanita MIC

KUALA LUMPUR – Gejala buli siber tidak seharusnya dibiarkan berlaku dengan berleluasa sehingga mendatangkan kemudaratan.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Saraswati Nallathamby berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya ke atas pelaku buli siber, apatah lagi jika perbuatan mereka itu nyata memberi kesan negatif kepada mangsa.

Menurut beliau, kejadian malang yang menimpa pempengaruh, Rajeswary Appahu harus dijadikan ‘pembuka mata’ oleh semua pihak berkaitan dan ia perlu dicegah sebelum menjadi lebih buruk.

“Apa yang berlaku ini ialah tragedi dan ia seharusnya menyedarkan kita, betapa besar impak negatif buli siber ke atas mangsa.

“Di negara luar misalnya, ramai mangsa bertindak menamatkan riwayat masing-masing kerana tidak berupaya menanggung tekanan,” katanya kepada Getaran.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas kejadian bunuh diri melibatkan Rajeswary yang bertindak menamatkan riwayatnya selepas dilanda tekanan, akibat dibuli secara siber.

image is not available
Mendiang Rajeswary Appahu

Gadis malang itu bukan sahaja dimalukan dengan kata-kata kesat ketika sedang melakukan penstriman secara langsung, tetapi turut berdepan beberapa ugutan jenayah oleh pembuli.

Mayat mendiang Rajeswari atau lebih dikenali sebagai Esha ditemui di kediamannya sekitar jam 11 pagi, 5 Julai lalu.

Susulan insiden, seorang wanita uditahan kerana disyaki terbabit memfitnah dan mengugut mendiang.

Dia dipercayai memuat naik dua kandungan video yang telah disunting, mengandungi foto mangsa, kata-kata berbaur ugutan dan lucah.

Dalam perkembangan berkaitan, Saraswati  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, perlu ada kesedaran dan tanggungjawab dalam diri setiap rakyat setiap kali melayari media sosial.

“Walaupun Malaysia sebuah negara yang mengamalkan kebebasan bersuara, tidak bermakna anda berhak berkata apa sahaja hingga memudaratkan orang lain,” tegasnya.

Terdahulu, beliau dan beberapa pimpinan Wanita MIC melawat kediaman mendiang Esha bagi menyantuni keluarga mangsa. - Getaran, 10 Julai 2024