Jangan Biarkan Kelompok Kecil Yang Suka Menabur Fitnah Berluasa - PM

LocalPolitics
23 May 2026 • 6:56 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Jangan Biarkan Kelompok Kecil Yang Suka Menabur Fitnah Berluasa - PM

KUALA LUMPUR - Kelompok kecil yang gemar memainkan sentimen perkauman dan fitnah tidak boleh terus dibiarkan bermaharajalela di negara ini. 

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tyranny of the minority itu akan merosakkan masa depan Malaysia yang dibina atas semangat saling menghormati dan hidup bersama.

Menurut beliau, sudah sampai ketikanya rakyat yang sederhana dan cintakan keamanan bersuara mempertahankan perpaduan negara.

“Negara ini sejak awal di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah dibina atas semangat ‘Bersekutu Bertambah Mutu’.

“Kepelbagaian dan perbezaan bukan perkara baharu, malah menjadi asas pembentukan Malaysia sejak merdeka,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Wacana Harmoni MADANI sempena sambutan Hari Wesak.

Acara itu jelasnya, mengangkat pentingnya persefahaman, nilai kemanusiaan serta keharmonian antara masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini.

“Islam ditetapkan sebagai agama Persekutuan dan masyarakat Melayu serta bumiputera sebagai majoriti. 

“Namun sejak awal juga, negara ini dibangunkan dengan sikap saling menghormati dan memuliakan kepelbagaian kaum serta agama,” katanya.

Tegas beliau, gagaasan Malaysia MADANI dibentuk untuk kembali memperkukuh nilai ihsan, adab dan kemanusiaan yang menjadi teras pembinaan negara.

“Sebab itu budaya wacana dan dialog antara agama mesti terus disuburkan, bukannya setiap hari mencari isu untuk meniup kebencian, menakut-nakutkan rakyat dan memecahkan masyarakat demi laba politik sempit,” katanya. - Getaran, 23 Mei 2026

View Original Article