Jangan Biarkan Politik Kebencian Menebal, Elak Berita Palsu Dan Fitnah – Fahmi

LocalPolitics
22 Jul 2024 • 8:26 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Fahmi Fadzil menyantuni sebuah keluarga di pelancaran sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 semalam. - Gambar X

KUALA LUMPUR – Politik kebencian tidak harus dibiarkan menebal sehingga menjadikan berita palsu dan fitnah sebagai panduan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang sewajarnya semakin utuh, sesuai dengan usia kemerdekaan negara yang sudah menginjak 67 tahun.

Menurut beliau, penyebaran berita palsu sememangnya amat berbahaya kerana berpotensi merosakkan imej negara.

“Bahayanya sesuatu berita palsu dan fitnah itu sehingga boleh merosakkan imej Malaysia, meruntuhkan keharmonian dan perpaduan yang sudah sekian lama terjalin, serta memberi ancaman kepada kemerdekaan negara,” katanya menerusi ciapan di X.

Jelas Fahmi, semua perbezaan harus diketepikan selaras dengan fasa sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia yang semakin hampir.

“Hayati erti sebenar kemerdekaan yang membawa kepada penyatuan seluruh warganegara,” katanya.

Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Cyberjaya, semalam.

Dalam perkembangan lain , Fahmi ketika ditemui media selepas pelancaran memberitahu, beberapa platform media sosial akan dikenakan tindakan, selepas terbabit dalam sejumlah  insiden buli siber sebelum ini.

Katanya, semua platform berkenaan dilihat tidak serius dalam menyelesaikan masalah tersebut.

"Saya tidak rasa mereka mengambil kisah...jadi cukuplah. Kita akan hantar satu mesej yang sangat keras dan jelas kepada platform-platform ini. Nantikan," katanya seperti dilaporkan BERNAMA. – Getaran, 22 Julai 2024