
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan sebarang usaha melaksanakan reformasi yang diperjuangkan sejak era Pakatan Harapan (PH) dan PKR tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, sebaliknya mesti melalui rundingan dan musyawarah bersama parti komponen lain dalam Kerajaan Perpaduan.
Menjawab gesaan segelintir ahli PKR yang mahu reformasi dilaksanakan segera dan menyeluruh, Perdana Menteri menekankan bahawa perubahan tetap perlu dilakukan, namun mesti dengan kebijaksanaan politik serta mengambil kira kedudukan dan keutamaan setiap parti.
“Kadang-kadang kita lupa… kalau PKR ada 30 kerusi, PH 82 kerusi tetapi kita bicara macam kita kawal 222 kerusi Parlimen.
"Kita kena ingat, perubahan mesti dilakukan tetapi mesti waras dan bijaksana, mesti faham harus runding dengan baik, musyawarah dalam kalangan pimpinan semua parti,” katanya lapor BH.
Anwar mengakui proses itu bukan mudah kerana setiap parti mempunyai agenda tersendiri, namun menegaskan kepimpinan kerajaan perlu mengemudi dengan bijak.
Beliau menambah, satu perkara yang tidak boleh disangkal ialah komitmen kerajaan untuk membawa perubahan serta menolak rasuah, penyelewengan dan keangkuhan.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada program Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di Hulu Selangor, hari ini.
Beliau mengakui kerajaan pimpinannya masih berdepan cabaran besar melaksanakan reformasi, terutama apabila isu kaum sering dijadikan modal politik.
Anwar yang juga Pengerusi PH dan Presiden PKR berkata setiap kaum – Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak – boleh membawa isu masing-masing, tetapi ia mesti dilihat dalam kerangka besar Malaysia.
“Apa yang ditakutkan… soal Cina oleh Melayu, sesetengah orang Cina fikir masalah sekolah Cina saja, dan sesetengah orang India pun begitu. Kita harus lihat dalam kerangka besar Malaysia,” katanya.
Perdana Menteri turut membidas pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan mengenai reformasi, sedangkan ketika berkuasa mereka gagal melaksanakannya.
“Bila ada kuasa, tidak buat apa-apa. Bila tiada kuasa, berleter hari-hari. Itu cabaran untuk kita yang berkuasa,” katanya.
Anwar menegaskan komitmen kerajaan untuk menolak rasuah, penyelewengan dan keangkuhan, sambil mempertahankan kebebasan badan kehakiman.
“Orang yang biasa dengan rasuah tidak mungkin menerima kita dengan baik. Orang yang mendukung perasuah tidak akan senang dengan kita. Orang yang menceroboh kebebasan badan kehakiman tidak akan senang dengan keputusan bebas badan kehakiman,” katanya. - 3 Januari, 2026
The post Jangan ‘bicara macam kita kawal 222 kerusi Parlimen’: Anwar appeared first on Scoop.
