
KUALA LUMPUR - Setiap pengundi yang layak diingatkan tidak memboikot daripada melaksanakan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), memandangkan ia adalah hak dan kuasa mereka untuk bersuara.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, tindakan memboikot undi, seolah-olah memenuhi kemahuan pihak yang merosakkan sistem demokrasi negara.
“Boikot undi? Don’t (jangan). Itu dimahukan mereka yang merosakkan sistem.
“Mereka mahu kita putus harap pada demokrasi dan mahu kembali bermaharajalela. Undi kita, hak kita. Suara kita, kuasa kita!,” katanya menerusi keterangan di video dimuat naik di Twitter hari ini.
Menerusi video itu, Fahmi mengingatkan rakyat mengenai tiga peranan mereka, iaitu pertama, tidak memboikot undi.
Peranan kedua, katanya, setiap individu berumur 18 tahun ke atas secara automatik akan didaftarkan sebagai pengundi dan mendapatkan maklumat pengundian, seperti lokasi pusat mengundi dengan melayari laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Manakala, ketiga jelasnya, rakyat perlu memberitahu kenalan dalam lingkungan mereka bahawa Parlimen sudah dibubar dan PRU-15 bakal diadakan.
“Mari kita ramai-ramai keluar mengundi. Kalau ada kawan yang salah faham, dia rasa Langkah Sheraton boleh berlaku sekali lagi, tak boleh dah sebab Perlembagaan sekarang melarang Ahli Parlimen daripada bertukar parti.
“Jadi jangan risau perkara itu tak akan berlaku lagi. Jangan putus asa kita yang ingin lihat sebuah Malaysia yang lebih baik, adil, berwibawa, bertenaga dan bersedia menghadapi dugaan, cabaran di hari muka,” katanya.
PRU-15 bakal diadakan dalam tempoh 60 hari setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubar berkuatkuasa semalam, selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ismail Sabri berkata, penetapan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian serta urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan SPR.
Getaran hari ini melaporkan, Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak memaklumkan SPR akan bermesyuarat pada 20 Oktober ini bagi membincang dan menentukan tarikh penting PRU-15.
Mesyuarat itu juga, jelasnya, bagi membincang dan menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.
Katanya, mesyuarat tersebut akan diadakan pada jam 10 pagi di Menara SPR, Putrajaya.
“Mesyuarat khas tersebut dipengerusikan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh yang akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRU Ke-15 dan PRK DUN N.66 Bugaya, seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih dan persiapan lain bagi melaksanakan kedua-dua pilihan raya tersebut.
“Satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat tersebut,” katanya. - Getaran, 11 Oktober 2022
