Jangan boros, jimat minyak

LocalBusiness & Finance
14 Mar 2026 • 9:10 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Harga minyak boleh cecah AS$200 satu barel jikalau keadaan memburuk. - AFP

BAGUS sangat langkah yang diambil oleh kerajaan untuk berhemah dan berhati-hati. Kita tidak tahu berapa lama perang Iran dan Amerika Syarikat (AS) serta sekutunya Israel akan berakhir. Nampaknya tiada siapa yang beralah. Iran bukan kecil anak. Iran bukan Iraq atau Libya. Iran ada kekuatan ketenteraan dan kapasiti peluru berpandu jarak jauh.

Harga minyak boleh cecah AS$200 satu barel jikalau keadaan memburuk. Kesannya pada ekonomi dunia pasti teruk. Setakat ini pun Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) bersetuju melepaskan 400 juta tong minyak daripada rizab kecemasannya, jumlah terbesar setakat ini. Tapi sampai bila? Berapa lama boleh bertahan? Berapa banyak rizab IEA? Bagaimana kalau Terusan Hormuz yang menjadi laluan 20 peratus minyak dunia disekat?

Kerajaan kita nampaknya sudah ambil langkah proaktif. Ekonomi dunia jadi tak menentu. Harga minyak akan melambung. Kesannya pada harga barangan dan perkhidmatan belum boleh kita bayangkan.

Jadi bagus sangatlah kita fikirkan kemungkinan untuk kurangkan penggunaan minyak. Baik sangat dikaji kemungkinan pelaksanaan kerja dari rumah (BDR). Kita sudah alami hal itu semasa pandemik Covid-19.

Awang yakin ancaman pada ekonomi dunia akibat perang Iran ini lebih buruk daripada pandemik itu. Jangan boros, simpan duit!