
KUALA LUMPUR – Keharmonian beragama di negara ini seharusnya dipelihara dengan baik, demi memastikan perpaduan sesama kaum kekal terjalin.
Justeru, Presiden Kuil Sri Mangala Chamundi Temple di Bahau, Negeri Sembilan, Datuk Seri S Surash berkata, sebarang keputusan melibatkan rumah ibadat mana-mana kaum perlu ditangani dengan bijak dan telus.
Menurut beliau, umum mengetahui bahawa isu berkaitan agama amat sensitif dan memerlukan penyelesaian secara tuntas dan holistik.
“Apa sahaja isu melibatkan agama seharusnya diselesaikan secara penuh berhemah, demi memastikan sensitiviti semua pihak dijaga.
“Kerajaan sepatutnya lebih arif dalam hal ini, apatah lagi negara kita berlatar belakang masyarakat majmuk yang berbilang bangsa, adat dan agama,” katanya kepada Getaran di sini hari ini.

Mengulas isu penempatan semula Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini, Surash berkata, pemimpin negara tidak seharusnya mengabaikan sensitiviti kaum dan agama hanya kerana kepentingan politik masing-masing.
“Apakah pihak berkuasa akan menjual tanah yang sudah mempunyai rumah ibadat tanpa mempertimbangkan sensitiviti agama dan kepentingan komuniti setempat?
“Bayangkan jika saya membeli sebidang tanah daripada DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan ketika itu sudah ada sebuah surau atau masjid di atas tanah tersebut. Adakah DBKL akan menjual tanah itu kepada saya tanpa mengambil kira kepentingan masyarakat Islam di situ,” katanya.
Jelas beliau, pihak berkuasa juga perlu menjelaskan sama ada pemilik tanah boleh sewenang-wenangnya memindahkan rumah ibadat sedia ada hanya untuk membina yang baharu.
“Jika benar tanah itu sudah menjadi milik saya, bolehkah saya atau bahkan Perdana Menteri sendiri membuat keputusan untuk memindahkan surau atau masjid itu ke tempat lain hanya kerana saya mahu membina kuil,” soalnya.
Surash menarik perhatian, isu berkenaan bukan sekadar berkaitan agama, tetapi lebih kepada nilai kemanusiaan dan keadilan sosial.
“Ini bukan soal agama semata-mata, tetapi soal hati dan nilai kemanusiaan. Sebagai rakyat, lebih-lebih lagi sebagai pemimpin, kita mempunyai tanggungjawab moral untuk memelihara keharmonian, bukan menimbulkan perpecahan,” tegasnya. - Getaran, 24 Mac 2025
