Jangan cuba khianat, ugut kestabilan Kerajaan Perpaduan - PM

LocalPolitics
17 May 2026 • 5:22 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Jangan cuba khianat, ugut kestabilan Kerajaan Perpaduan - PM
JOHOR BAHARU, 17 Mei -- Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, hari ini.-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARAJOHOR BAHRU, May 17 -- Prime Minister and Pakatan Harapan (PH) chairman Datuk Seri Anwar Ibrahim delivers his speech at the Pakatan Harapan Convention 2026 at the Persada International Convention Centre today.-- fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED

JOHOR BAHRU -  [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran kepada semua pihak agar tidak cuba mengugut atau mengkhianati kestabilan Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, jika perkara itu berlaku, beliau bersedia memulangkan mandat kepada rakyat sekiranya dicabar.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, walaupun mengamalkan pendekatan berhemah dan lunak dalam rundingan politik, ia tidak seharusnya disalah tafsir sebagai tanda kelemahan.

"Saya nak beri mesej yang jelas hari ini... kita berjuang puluhan tahun berdasarkan prinsip... kita mengambil pendekatan yang hikmah, berunding dengan baik, tidak menegur dan menyergah mereka secara terbuka kerana kita faham maksud 'bil hikmah’.

"Tapi jangan salah baca, jangan salah faham, jangan ugut dan jangan ada tindakan ke arah pengkhianatan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung, DAP Anthony Lok; Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Anwar berkata, kepimpinan PH yang merangkumi PKR, Amanah dan DAP ketika ini kekal utuh serta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang usaha menghasut ke arah pengkhianatan dalaman.

"Sepanjang tiga tahun Kerajaan MADANI, kita tidak pernah menghasut atau berniat mengkhianati kawan-kawan... kita dengar, kita ubah suai dan bergerak dengan cermat kerana kita mahu kerajaan ini stabil dan negara aman... politik harus stabil, negara harus aman," katanya.

Perdana Menteri turut membidas sikap segelintir pihak yang disifatkan sebagai apologetik dan hanya berani menyasarkan isu kecil namun mendiamkan diri terhadap perompak besar yang mengaut kekayaan negara.

Beliau berkata, Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah khususnya melibatkan golongan elit dan individu berpangkat tinggi termasuk Tun serta Tan Sri yang didakwa menyalahgunakan kedudukan untuk mengumpul kekayaan.

"Ini pasukan dalam Jemaah Menteri yang bekerja... bukan pasukan yang merompak kekayaan... isu pokok reformasi ialah kita benci kezaliman dan orang yang menggunakan jawatan untuk mengaut kekayaan berbilion ringgit... perkara ini sudah berjaya kita hentikan dalam kalangan pimpinan," katanya.

Menyentuh mengenai prestasi Kerajaan MADANI, Anwar meminta ahli dan penyokong PH supaya tidak hanya bersikap defensif sebaliknya tampil mempertahankan pencapaian ekonomi negara yang semakin kukuh.

Beliau berkata, antara pencapaian utama ialah unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar suku pertama tahun ini sebanyak 5.4 peratus, pelaburan tertinggi dalam sejarah, kadar pengangguran dan inflasi yang rendah serta peningkatan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah Malaysia.

"Angka-angka ini harus dihadam kerana kalau tidak diterangkan, orang lebih senang dengar masalah kecil dan lupa rangka besar yang kita sedang bina.

"Kita berikan syarat prestasi harus baik, jangan biarkan rakyat menunggu lama untuk urusan... ini yang kita sentiasa pantau," katanya.- Bernama