MAHU kurus dengan cepat. Itu mungkin antara impian terbesar mereka yang sudah lama bergelut dengan masalah berat badan.
Namun, apabila impian itu dimanfaatkan menerusi lambakan iklan di media sosial yang menjanjikan penurunan berat badan dalam tempoh singkat, persoalan lebih besar mula timbul.
Fenomena ‘pen kurus’ yang kini semakin mendapat perhatian bukan sekadar berkisar usaha mendapatkan bentuk badan ideal, malah membabitkan aspek keselamatan, penguatkuasaan serta kecenderungan pengguna mempercayai kandungan yang tular.
Terbaru, Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan produk didakwa mengandungi retatrutide atau Reta, kerana tiada produk berasaskan bahan itu yang berdaftar untuk digunakan di Malaysia.
Retatrutide masih merupakan ubat percubaan yang menjalani kajian klinikal fasa tiga dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa kawal selia di dunia.
Persoalannya, jika statusnya masih belum diluluskan, bagaimana produk yang didakwa mengandungi bahan tersebut boleh sampai terus kepada pengguna?
Penjualan produk penurunan berat badan secara dalam talian semakin membimbangkan kerana pengguna boleh mendapatkan ubat suntikan tanpa pemeriksaan, preskripsi atau pemantauan pengamal perubatan berdaftar.
KKM memaklumkan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi menerima 65 aduan dan menjalankan 30 serbuan berkaitan produk penurunan berat badan dari Januari hingga Julai 2026.
Daripada jumlah itu, 17 serbuan membabitkan penjualan secara dalam talian dengan nilai rampasan keseluruhan RM477,142. Angka itu menunjukkan masalah berkenaan bukan lagi kecil atau terpencil.
Lebih membimbangkan ialah cara produk sedemikian dipasarkan sehingga kelihatan begitu meyakinkan.
Testimoni pengguna, gambar sebelum dan selepas, dakwaan turun berat badan dalam masa singkat serta penggunaan istilah perubatan boleh menyebabkan sesuatu produk kelihatan seolah-olah sah dan selamat.
Keinginan untuk mendapatkan hasil pantas sebenarnya bukan perkara baharu. Namun, apabila ia membabitkan ubat atau bahan yang belum diluluskan, pengguna sebenarnya mengambil risiko terhadap tubuh sendiri.
Penggunaan produk tanpa penilaian dan pemantauan perubatan boleh menyebabkan kesan serta komplikasi serius, malah keadaan menjadi lebih berbahaya sekiranya kesan tersebut tidak dikenal pasti dan dirawat dengan segera.
Masalah berat badan memang memerlukan perhatian dan rawatan sewajarnya. Namun, jalan pintas bukan semestinya jalan yang selamat.
Sebab itu, persoalan yang perlu ditanya bukan sekadar, “Berapa kilogram boleh turun?”
Sebaliknya, persoalan lebih penting ialah, “Apa sebenarnya terkandung dalam pen itu?”
Pengguna perlu memastikan sebarang produk penurunan berat badan yang mahu digunakan mempunyai pendaftaran dan kelulusan pihak berkuasa serta diperoleh daripada sumber yang sah.
Angka pada penimbang mungkin berubah dalam tempoh tertentu. Tetapi jika perubahan itu diperoleh dengan menggadaikan kesihatan, harga yang perlu dibayar mungkin jauh lebih mahal.
Mahu kurus bukan sesuatu yang salah. Namun, jangan sampai keinginan untuk kurus menyebabkan kita terlupa perkara paling penting — kekal sihat.
* Siti Hazira Hamdan ialah Sub Editor Sinar Harian
