Jangan guna isu kaum untuk tutup rasuah – PM

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 1:46 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan guna isu kaum untuk tutup rasuah – PM

KUALA LUMPUR: Isu kepentingan kaum tidak seharusnya dibangkitkan semata-mata mahu menutup isu penipuan dan rasuah.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat pihak dalam kalangan parti politik atau persatuan yang membangkitkan isu kaum sehingga perhatian terhadap penipuan dan rasuah diketepikan.

Beliau berkata, terdapat juga tokoh yang lantang memperjuangkan survival kaum namun pada masa sama tergolong dalam kalangan individu paling kaya.

“Dia bincang survival kepentingan kaum, dia padam isu penipuan dan rasuah. Dia bangkitkan isu kaum dalam masa yang sama dia perkayakan.

“Lihat tokoh-tokoh yang bicara soal survival kaum, mereka itu di antara yang paling kaya dalam kalangan kita. Perjuangan itu perjuangan untuk memperkayakan diri mereka dan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berucap dalam Sambutan Hari Deepavali Peringkat Kebangsaan 2026 di Little India Brickfields di sini hari ini.

Dalam pada itu, Anwar berkata, semangat Deepavali yang membawa simbol cahaya perlu dihayati melalui usaha memberikan pencerahan kepada rakyat khususnya dalam memperjuangkan keadilan, kesaksamaan dan nilai kemanusiaan.

Menurutnya, perbezaan warna kulit, agama, budaya, bahasa dan keturunan tidak seharusnya menghalang rakyat daripada saling menghormati serta menghargai antara satu sama lain.

Beliau turut berharap masyarakat India tidak berasa gusar kerana setiap perjuangan mempunyai cabaran namun kemenangan akhirnya akan berpihak kepada kebenaran dan keadilan.

“Saya harap dalam sambutan Deepavali kali ini, jangan kita gusar. Hidup ini ada senang susahnya. Perjuangan ini ada pasang surutnya tetapi teruskan hingga titik akhir.

“Kerana akhirnya kemenangan itu pasti memihak kepada kebenaran dan keadilan,” katanya.

Anwar berkata, semangat saling menghormati dan menghargai perbezaan perlu terus menjadi asas kepada kehidupan masyarakat di negara ini.

“Begitulah Malaysia seharusnya dibentuk, dikekalkan dan terus berjaya sebagai sebuah negara,” katanya. – UTUSAN

The post Jangan guna isu kaum untuk tutup rasuah – PM appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved