“Jangan gunakan Islam hanya untuk cetuskan porak-peranda” – PM Anwar

LocalPolitics
19 Mar 2025 • 11:13 AM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Umat Islam diseru agar mengimarahkan masjid yang bukan sahaja menjadi tempat gedung ilmu, tetapi juga sebagai tempat penyatuan ummah di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jangan gunakan Islam

Memetik laporan Sinar Harian, Anwar berkata masjid perlu dimakmurkan dengan aktiviti yang mengukuhkan perpaduan serta menghayati nilai-nilai Islam bagi menyemarakkan semangat muafakat demi kesejahteraan dan keharmonian negara.

“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan, bukan menyemai kebencian atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

“Ini yang menjadi polemik di negara kita… Jangan gunakan Islam hanya untuk mencetuskan porak-peranda dan menyerang pihak lain. Sebelum membuat keputusan, kefahaman harus diberikan terlebih dahulu.

“Perbezaan pendapat itu dibolehkan, tetapi tidak perlu mencerca, memaki hamun atau menidakkan orang lain,” katanya.

image is not available

Foto: Bernama

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai, di Butterworth pada Selasa.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan masyarakat Islam bukan hanya diukur dari segi ekonomi dan politik, tetapi juga sejauh mana institusi agama seperti masjid dimakmurkan dan berfungsi dengan berkesan.

image is not available

Foto: Bernama

Malah, masyarakat Islam perlu menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan bagi semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Semangat persaudaraan yang kukuh dapat dibentuk sekiranya masjid dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.

“Masjid juga perlu bersikap terbuka kepada semua golongan, termasuk wanita dan anak muda, bagi memastikan mereka lebih mendekati agama,” ujarnya.

Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Sumber: Sinar Harian (Mohd Iskandar Othman)