
KUANTAN - Gabungan 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Pahang membantah sekeras-kerasnya cadangan kerajaan negeri untuk menawarkan program pemutihan kepada pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah kerajaan di Raub.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Sabtu, NGO terbabit menegaskan bahawa tindakan tersebut seolah-olah memberi keistimewaan kepada penjenayah tanah.
“Mereka melanggar undang-undang secara terang-terangan dan jika cadangan ini diteruskan, ia akan menjadi contoh buruk di mana prinsipnya ialah 'ceroboh dahulu, kemudian akan dapat tanah apabila program pemutihan dilaksanakan',” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut disokong oleh 30 NGO termasuk Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Malaysia, Sekretariat Anak Pahang Perantauan (SAPP), AN-NAJWA Care, Al Banna Care, Pertubuhan Lestari Ummah, Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia, Pertubuhan Anak Muda Pahang, Pertubuhan Pencinta Hijau Malaysia dan lain-lain dari seluruh negeri ini.
Gabungan NGO turut menegaskan bahawa penceroboh mesti dihukum mengikut undang-undang sedia ada termasuk dikenakan denda dan hukuman penjara, sebagaimana yang pernah dilaksanakan terhadap pesalah lain yang menceroboh tanah kerajaan.
“Kami juga menjunjung setinggi-tinggi taat setia kepada titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bahawa penceroboh tanah haram adalah penjenayah dan tindakan tegas mesti diambil,” tegas mereka.
Sementara itu, Pengerusi UMMAH Malaysia, Mohd Zai Mustafa menyifatkan cadangan program pemutihan kepada penceroboh Musang King sebagai satu bentuk layanan dua darjat.
Menurutnya, ia tidak adil kepada rakyat Pahang lain yang telah lama menunggu giliran untuk memiliki tanah.
“Tanah yang mereka ceroboh diberikan hak milik melalui program pemutihan sedangkan ramai rakyat Pahang telah memohon tanah sejak puluhan tahun tetapi masih belum mendapat hak milik – bahkan ada yang meninggal dunia tanpa sempat memilikinya.
“Sedangkan penceroboh tanah yang jelas melanggar undang-undang ditawarkan program khas pemutihan oleh kerajaan negeri. Jika benar, ini merupakan layanan dua darjat yang mengecewakan,” katanya.
Tambah beliau, cadangan tersebut menunjukkan kelemahan dan kegagalan pentadbiran tanah selama beberapa dekad sehingga menyebabkan pencerobohan berlaku secara berleluasa tanpa tindakan sewajarnya.
“Semua pihak kini mempersoalkan integriti pentadbiran tanah, pembangunan tanah, pejabat tanah, jabatan hutan dan agensi-agensi berkaitan.
“Tidak mungkin mereka tidak mengetahui perkara ini. Apabila Sultan bertitah barulah semuanya dibangkitkan – jumlah keluasan tanah, tempoh tanaman, hasil diperoleh dan kerugian kepada kerajaan,” ujarnya.
Mohd Zai turut mempersoalkan kegagalan menggunakan peruntukan pindaan Kanun Tanah Negara 2016 yang meningkatkan kadar hukuman terhadap penceroboh tanah.
“Tanah kerajaan atau tanah yang belum diberikan milik jika diceroboh boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 dan hukuman penjara hingga lima tahun.
“Jadi, kenapa peruntukan ini tidak digunakan sedangkan pekebun haram terbabit jelas menceroboh tanah kerajaan yang sangat luas?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Pahang dan gabungan NGO kecewa dengan cadangan kerajaan negeri dan menyokong penuh titah Al-Sultan Abdullah supaya tindakan tegas diambil terhadap penjenayah tanah.
“Tuanku sendiri menyatakan bahawa pencerobohan tanah kerajaan adalah jenayah, sama seperti jenayah dadah dan sebagainya.
“Kalau Tuanku berkata demikian, maka tindakan tegas seharusnya dilaksanakan ke atas pekebun yang menceroboh, bukan memberikan mereka program pemutihan,” katanya.

