Jangan jadi hamba algoritma media sosial

Opinion
3 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Jangan jadi hamba algoritma media sosial

PERNAHKAH kita membuka aplikasi Threads sekadar mahu melihat hantaran tetapi tanpa sedar menghabiskan masa berpuluh minit?

Pada awalnya hanya membaca satu perkongsian, kemudian tertarik dengan restoran tular, percutian, kerjaya, gaji, gaya hidup atau produk baharu. Akhirnya, kita mula mencari harga atau merancang sesuatu yang pada asalnya tidak pernah terlintas.

Itulah kuasa media sosial. Persoalannya, dalam lambakan kandungan, adakah kita benar-benar memilih apa yang mahu dilihat, dibeli dan diikuti atau keputusan itu sedikit sebanyak dipengaruhi algoritma?

Setiap tanda suka, komen, tempoh membaca dan hantaran yang kita berhenti seketika sebenarnya memberikan isyarat kepada platform.

Daripada data tersebut, algoritma mempelajari kecenderungan pengguna lalu menyusun kandungan yang dianggap mampu menarik perhatian.

Jika kita kerap melihat makanan, lebih banyak kandungan berkaitan restoran dan produk kulinari akan muncul.

Begitu juga dengan kewangan, percutian atau gaya hidup. Lama-kelamaan, kita mungkin menyangka sesuatu itu menarik kerana ramai orang membincangkannya, sedangkan paparan tersebut telah disusun mengikut minat sendiri.

Apabila maklumat semakin banyak, perhatian manusia menjadi semakin terhad dan bernilai. Platform digital bersaing mendapatkan masa pengguna kerana perhatian itulah yang mampu menjana nilai.

Fenomena ini semakin kuat apabila muncul rasa bimbang ketinggalan daripada pengalaman yang sedang dinikmati orang lain.

Media sosial sememangnya membawa banyak manfaat. Namun, masalah timbul apabila perhatian kita menjadi sumber yang dieksploitasi untuk mendapatkan keuntungan.

Justeru, sebelum membeli kerana trend, berkongsi kerana tular atau membandingkan kehidupan sendiri dengan orang lain, berhentilah seketika. Tanya diri: “Benar-benar memilih, atau sekadar mengikut apa yang disajikan?”

Kita mungkin tidak mampu mengawal algoritma tetapi masih boleh menentukan tindakan selepas melihatnya.

Dalam dunia yang berlumba-lumba merebut perhatian, keupayaan untuk berhenti, berfikir dan membuat pilihan secara sedar ialah satu bentuk kebebasan.

Tidak semua perkara perlu dikejar. Kadangkala, tidak mengikuti arus merupakan pilihan yang paling bijak. – UTUSAN

NOOR ASLINDA ABU SEMAN
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

The post Jangan jadi hamba algoritma media sosial appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved